Raja Noraina Raja Rahim dan Noor Hidayah Tanzizi


Kuala Lumpur: Usul jawatan presiden dan timbalan presiden tidak dipertandingkan pada pemilihan parti yang diluluskan hari ini, tidak boleh dicabar.

Presiden Umno Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, ia adalah keputusan muktamad selepas dipersetujui perwakilan dalam Perhimpunan Agung Umno 2022 (Pau).

"Ini termasuk usul tambahan yang kita rasakan ia mengikut Fasal 8 Perlembagaan Parti.

"Kami berdua (bersama Timbalan Presiden Datuk Seri Mohamad Hasan) tak ikuti bagaimana jurucakap pencadang dan penyokong melakukannya tapi yakinlah ia berjalan dengan baik," katanya dalam sidang media selepas ucapan penggulungan Pau di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL) di sini, hari ini.

Fasal 8 Perlembagaan Parti memaklumkan Perhimpunan Agung adalah kuasa tertinggi parti dan perjalanan parti adalah berasaskan kepada kuasa dan perintahnya tertakluk kepada Perlembagaan dan juga Peraturan Umno.

Justeru, Ahmad Zahid berkata, keputusan meluluskan kesemua lapan usul termasuk jawatan presiden dan timbalan presiden tidak dipertandingkan adalah muktamad.

Beliau juga yakin usul dibawa perwakilan itu mengikut peraturan ditetapkan seperti termaktub dalam perlembagaan dan mendapat nasihat daripada penasihat undang-undang parti.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 14 January 2023 @ 7:39 PM