MUSTHAFA Kamal dilaporkan hilang di Makkah hampir sebulan lalu. Anaknya, Muaz, 17, terpaksa pulang ke tanah air bersama jemaah lain tanpa Musthafa Kamal. FOTO Ihsan Muhammad Nabel.
MUSTHAFA Kamal dilaporkan hilang di Makkah hampir sebulan lalu. Anaknya, Muaz, 17, terpaksa pulang ke tanah air bersama jemaah lain tanpa Musthafa Kamal. FOTO Ihsan Muhammad Nabel.
Raja Noraina Raja Rahim dan Noor Hidayah Tanzizi


Kuala Lumpur: Ketua Perwakilan Malaysia (Malawakil) di Arab Saudi memantau perkembangan jemaah umrah negara, Musthafa Kamal Abdullah, 49, yang dilaporkan hilang di Makkah sejak sebulan lalu.

Menteri Luar, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir berkata, Malawakil di negara terbabit mengikuti perkembangan kes itu dan mengambil tindakan sewajarnya untuk membantu.

Menurutnya, mereka juga perlu berhubung dengan pihak berkaitan negara berkenaan untuk kes seumpama itu yang perlu membabitkan pihak berkuasa.

"Dalam kes ini (kehilangan Musthafa Kamal) Malawakil kita sedang mengikuti perkembangan itu dan mengambil tindakan.

"Kes tertentu yang ada kaitan dengan perundangan dalam negara berkenaan, maka kita perlu berhubung dengan pihak berkenaan (pihak berkuasa untuk tindakan lanjut)," katanya kepada pemberita selepas melawat Laman Media sempena Perhimpunan Agung Umno (PAU) 2022 di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL),di sini, hari ini.

Dalam pada itu, Zambry berkata, rakyat negara ini yang berhadapan dengan masalah di luar negara perlu terus memaklumkan perkara itu kepada Malawakil iaitu wakil kedutaan Malaysia di negara berkenaan untuk tindakan dan bantuan segera.

Katanya, rakyat negara ini juga disaran memaklumkan kehadiran mereka ke mana-mana negara yang dikunjungi bagi memudahkan sebarang urusan untuk semua masalah.

"Kita mempunyai misi yang baik dan mempunyai pegawai kedutaan yang bertindak dengan pantas," katanya.

Terdahulu, media melaporkan kehilangan Musthafa Kamal ketika menunaikan ibadah umrah di Makkah selepas didapati tiada di bilik hotel oleh anaknya, Muaz.

Anak jemaah itu, Muhammad Nabil, 26, berkata, bapa pergi ke Tanah Suci bersama adiknya, Muaz, 17, pada 6 Disember lalu dan sepatutnya pulang ke tanah air pada 18 Disember.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 13 January 2023 @ 5:14 PM