MUSTHAFA Kamal dilaporkan hilang di Makkah. Anaknya, Muaz, 17, terpaksa pulang ke tanah air bersama jemaah lain tanpa bapa. FOTO ihsan keluarga
MUSTHAFA Kamal dilaporkan hilang di Makkah. Anaknya, Muaz, 17, terpaksa pulang ke tanah air bersama jemaah lain tanpa bapa. FOTO ihsan keluarga
BERNAMA

Batu Pahat: Kerajaan negeri akan memberikan kelonggaran daripada segi kerja kepada Mohd Nabil Musthafa Kamal, yang kehilangan bapanya di Makkah sejak Disember lepas, kata Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam Johor Mohd Fared Mohd Khalid.

Beliau berkata, kelonggaran akan diberikan kepada Mohd Nabil, 26, kakitangan Pejabat Kadi Daerah Batu Pahat untuk mencari bapanya Musthafa Kamal Abdullah, 49, dan akan berbincang dengan jabatan berkaitan untuk memberikan kelonggaran terbabit, selain tidak menganggap perkara itu sesuatu yang remeh.

"Kita sehingga kini masih membuka ruang kepada mana-mana pihak untuk memberikan usul atau cadangan, bagaimana untuk menjejak Musthafa Kamal dan mendoakan yang terbaik untuk usaha terbabit.

"Selain itu, kita juga telah memberikan maklumat berkaitan orang hilang berkenaan kepada rakyat Johor dan agensi pelancongan yang mengerjakan umrah, untuk membantu dalam usaha pencarian itu," katanya selepas program ramah mesra bersama penghulu dan ketua kampung Dewan Undangan Negeri Semerah, hari ini.

Sementara itu, Mohd Nabil ketika ditemui menjelaskan mereka sekeluarga tetap menunggu kepulangan bapanya itu yang bertugas sebagai guru agama di Sekolah Kebangsaan (SK) Parit Raja.

Menurutnya, beliau sendiri telah ke Makkah selama dua minggu bermula 21 Januari namun usaha terbabit menemui jalan buntu.

"Selain mencari, pengedaran risalah, menggunakan khidmat pejabat kedutaan, Lembaga Tabung Haji serta rombongan jemaah umrah yang bertandang di sana sudah dilakukan.

"Apa yang kami dapat hanya beberapa berita mengenai ayah yang dikatakan berada di satu-satu tempat berdekatan kaabah namun tidak membuahkan hasil," katanya.

Musthafa Kamal yang sebelum itu menunaikan umrah bersama seorang lagi anaknya Muaz, pada 6 Disember tahun lalu dan dijangka pulang pada 18 Disember tetapi dilaporkan hilang daripada bilik hotelnya pada 12 Disember.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 24 Februari 2023 @ 5:42 PM