GAMBAR hiasan. FOTO BERNAMA
GAMBAR hiasan. FOTO BERNAMA
Faizul Azlan Razak


Kuala Terengganu: Bilangan mangsa banjir berpindah ke pusat pemindahan sementara (PPS) di Hulu Terengganu semakin bertambah menjadikan 71 orang.

Laporan Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Terengganu, memaklumkan setakat jam 8 pagi ini seramai 23 keluarga diarahkan mendapatkan perlindungan ke PPS selepas kediaman mereka dinaiki air.

Semua mangsa yang dipindahkan kini ditempatkan di PPS Balairaya Kampung Kemat, Hulu Terengganu.

Berbanding jam 10 malam tadi, hanya 43 mangsa membabitkan 15 keluarga dipindahkan ke PPS selepas kediaman mereka dilanda banjir.

PPS di daerah itu terpaksa dibuka bagi menempatkan mangsa yang mula dipindahkan bermula jam 6 petang berikutan hujan lebat melanda Hulu Terengganu.

Banjir yang berlaku itu susulan limpahan air sungai dan setakat ini hujan berterusan masih melanda di beberapa tempat di daerah itu.

Dalam pada itu, satu sungai di Terengganu merekodkan bacaan melepasi paras amaran di daerah Setiu setakat pagi ini.

Berdasarkan laman web rasmi Public InfoBanjir Jabatan Pengairan dan Saliran, sehingga jam 7.15 pagi mendapati Sungai Nerus di Kampung Langkap, Setiu berada dalam keadaan amaran dengan bacaan 20.45 meter.

Sebelum ini, banjir luar jangka yang melanda Terengganu bermula 18 Disember lalu menyebabkan lebih 40,000 penduduk terjejas membabitkan lapan daerah berpindah ke PPS.

PPS Masjid Kampung La, Besut menjadi PPS terakhir ditutup di negeri ini berikutan ada kediaman mangsa rosak teruk akibat banjir.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 13 January 2023 @ 8:46 AM