Zatul Iffah Zolkiply


Kuala Terengganu: Seramai 69 mangsa banjir masih ditempatkan di tiga pusat pemindahan sementara (PPS) di Terengganu.

Setakat jam 8 pagi, semua mangsa daripada 22 keluarga berada di PPS di daerah Kuala Terengganu, Besut dan Setiu.

Berdasarkan Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Terengganu, Kuala Terengganu merekodkan jumlah mangsa tertinggi iaitu seramai 55 mangsa daripada 18 keluarga.

Semua mangsa ditempatkan di Sekolah Kebangsaan (SK) Atas Tol.

Seramai 12 mangsa membabitkan tiga keluarga yang masih terjejas berada di PPS Balai Raya Kampung Pantai di daerah Besut.

PPS di Surau Kampung Nyatoh, Setiu pula menempatkan dua mangsa daripada satu keluarga.

Sementara itu, berdasarkan laman web rasmi Public InfoBanjir Jabatan Pengairan dan Saliran, tiada sungai di Terengganu direkodkan melepasi paras bahaya dan paras amaran.

Setakat jam 8 pagi, hanya dua sungai direkodkan melepasi bacaan paras waspada.

Ia membabitkan Sungai Peneh di Felda Mengkawang, Hulu Terengganu dengan bacaan 36.83 meter (m) dan Sungai Nerus di Kampung Jeram, Kuala Nerus, 2.02 m.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 14 Disember 2022 @ 9:20 AM