Mohd Roji Kawi


Kuching: Calon Parti Sarawak Bersatu (PSB) bagi Parlimen Lubok Antu pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) Dr Johnical Rayong Ngipa, hari ini memfailkan petisyen bagi membantah keputusan bagi kerusi berkenaan di Mahkamah Tinggi, di sini, hari ini.

Dr Johnicol berkata, beliau mengemukakan petisyen itu kerana tidak berpuas hati selepas Pegawai Pengurus Pilihan Raya (RO) bagi Parlimen Lubok Antu, Richard Ngumbang, enggan melayan permintaannya untuk membuat kiraan semula jumlah undi.

Ini kerana katanya, timbul keraguan apabila jumlah majoriti terlalu kecil iaitu 100 undi dan ia diperoleh daripada peti undi terakhir yang tiba di pusat penjumlahan kira-kira jam 9.30 malam.

"Selepas menyedari sesuatu yang meragukan, kira-kira jam 10.30 malam (19 November 2022) saya memohon agar kiraan semula diadakan, namun RO tidak membenarkannya tanpa memberikan sebarang alasan.

"Satu peti undi yang terakhir tiba pada jam 9.30 malam itu adalah dari pusat pengundian Sekolah Kebangsaan (SK) Ijok," katanya kepada media di Kompleks Mahkamah Kuching, di sini, hari ini.

Menurut Dr Johnical yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Engkelili, lebih meragukan apabila peti undi itu hanya tiba di pusat penjumlahan dalam tempoh empat jam selepas pusat pengundian ditutup pada jam 5.30 petang sedang jarak antara dua lokasi itu hanya memerlukan masa 45 minit perjalanan menaiki kereta.

Sementara itu peguamnya, Clement Wong berkata, terdapat tiga alasan untuk mereka mengemukakan petisyen itu.

Antaranya ialah wujudnya rasuah am atau ugutan yang menjejaskan keputusan pilihan raya mengikut Seksyen 32(a) Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954.

Selain itu, berlakunya ketidakpatuhan terhadap peruntukan mana-mana undang-undang bertulis yang berkaitan dengan pengendalian mana-mana pilihan raya sehingga menjejaskan keputusan pilihan raya mengikut Seksyen 32 (b) akta yang sama.

Alasan ketiga pula ialah wujudnya amalan rasuah berkaitan dengan pemilihan oleh calon dengan pengetahuan dan persetujuannya atau oleh mana-mana ejen calon mengikut Seksyen 32(c) akta yang sama.

Dalam pertandingan empat penjuru di kawasan itu, calon Gabungan Parti Sarawak (GPS), Roy Angau Gingkoi menang selepas mendapat 6,644 undi, berbanding Johnical yang memperolehi 6,544 undi, manakala calon Perikatan Nasional (PN), Jugah Muyang memperoleh 5,360 undi dan calon bebas, Langga Lias, 746 undi.

DR Johnical Rayong Ngipa, memfailkan petisyen di Mahkamah Tinggi Kuching. FOTO Nadim Bokhari.
DR Johnical Rayong Ngipa, memfailkan petisyen di Mahkamah Tinggi Kuching. FOTO Nadim Bokhari.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 3 January 2023 @ 6:03 PM