Mohd Roji Kawi

Kuching: Mahkamah Majistret di sini, menolak permohonan reman ke atas dua pengarah projek sebuah syarikat berhubung siasatan terbabit kes pemalsuan tuntutan berjumlah RM1.3 juta pada 2013.

Majistret Zaiton Anuar menolak permohonan reman oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) terhadap dua pengarah projek berusia 43 dan 46 tahun itu.

Permohonan dibuat bagi membolehkan SPRM menjalankan siasatan lanjut berhubung tuntutan palsu.

Peguam salah seorang suspek, Roger Chin berkata, anak guamnya dibebaskan kerana tiada bukti kukuh yang boleh mengaitkan mereka dengan dakwaan itu.

Dua orang Pengarah Projek dari sebuah syarikat di hadapkan ke Mahkamah Majistret 3 Kuching. FOTO NADIM BOKHARI
Dua orang Pengarah Projek dari sebuah syarikat di hadapkan ke Mahkamah Majistret 3 Kuching. FOTO NADIM BOKHARI

"Kes itu disiasat mengikut Seksyen 18 Akta SPRM 2009 tetapi tiada bukti yang boleh mengaitkan mereka dengan kes itu.

"Mahkamah menolak permohonan reman dan kedua-dua pengarah projek itu dibebaskan," katanya.

Berdasarkan fakta kes, SPRM menerima maklumat bahawa kerja-kerja pembinaan 'river bank filtration' (RBF) pakej 1 bagi projek Bekalan Air Tanjung Manis Fasa 1 dilaksanakan tidak mengikut spesifikasi kontrak dan terdapat tuntutan yang mengandungi butiran palsu.

Selain Roger, dua lagi peguam iaitu Sim Hui Chuang dan Francis Wee, mewakili kedua-dua pengarah projek terbabit.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 23 April 2021 @ 4:13 PM