GAMBAR sekadar hiasan. FOTO Arkib NSTP
GAMBAR sekadar hiasan. FOTO Arkib NSTP
Muhaamad Hafis Nawawi


Hulu Selangor: Pengusaha yang mahu memohon untuk menjalankan 'aktiviti perkhemahan' boleh dipertimbangkan, tertakluk kepada permohonan lesen pusat rekreasi persendirian, tetapi ia berdasarkan syarat diberikan ketika kelulusan kebenaran merancang, menurut Majlis Perbandaran Hulu Selangor (MPHS).

MPHS dalam kenyataannya malam tadi berkata, pengusaha yang menjalankan apa-apa aktiviti perniagaan perlu bertanggungjawab mengemukakan permohonan dan memastikan perniagaan dijalankan selari dengan kelulusan kebenaran merancang yang diperoleh.

"Aktiviti perkhemahan adalah suatu aktiviti rekreasi luar yang mana ia aktiviti sampingan dijalankan pemilik hotel/resort. Bagi tujuan perlesenan sebagaimana di dalam Undang-undang Kecil (UUK) Pelesenan Tred, Perniagaan dan Perindustrian (MDHS) 2007, majlis boleh mempertimbangkan sesuatu permohonan 'aktiviti perkhemahan' tertakluk kepada permohonan lesen pusat rekreasi persendirian tetapi ia perlu melihat kepada syarat yang diberikan semasa kelulusan kebenaran merancang.

"Apa-apa permohonan yang diterima akan dirujuk kepada Jabatan teknikal dalaman dan luaran sebelum dibawa ke mesyuarat Jawatankuasa Kawalan Perniagaan untuk pertimbangan," katanya.

MPHS memberi reaksi itu bagi menjawab kenyataan dikeluarkan pengusaha tapak perkhemahan Father's Organic Farm yang mendakwa mereka tidak memohon lesen tapak perkhemahan kerana ia tidak wujud.

Menurut MPHS, memandangkan kegiatan riadah termasuk 'aktiviti perkhemahan' semakin mendapat tempat dalam kalangan masyarakat dan berpotensi untuk menarik pelancong dari dalam dan luar negara, maka dasar khusus dan jelas perlu diwujudkan bagi memastikan aktiviti itu dapat dijalankan secara sah dan mengikut tatacara pengendalian piawaian.

Terdahulu, jurucakap tapak perkhemahan Father's Organic Farm, Frankie Tan dilaporkan berkata, pihaknya tidak dapat membuat permohonan bagi mendapatkan lesen perkhemahan kerana permit sedemikian tidak pernah wujud.

Katanya, perkara itu dimaklumkan oleh pelbagai agensi kerajaan termasuk Jabatan Pertanian bahawa tiada lesen seumpama itu boleh dipohon oleh pengusaha tapak perkhemahan.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 21 Disember 2022 @ 12:52 AM