Sudirman Mohd Tahir dan Noor Hidayah Tanzizi


Hulu Selangor: Pihak Father's Organic Farm tidak memaklumkan Majlis Perbandaran Hulu Selangor mengenai operasi tapak perkhemahan yang dijalankan.

Exco Pelancongan dan Alam Sekitar Selangor, Hee Loy Sian berkata, kelulusan yang diberi kepada pihak terbabit membabitkan perniagaan pertanian di tanah persendirian.

"Pada 2019 syarikat itu membuat permohonan Kebenaran Merancang (KM) dan sudah diluluskan. Kemudian, setiap tahun permohonan lanjutan dibuat dan bakal tamat pada 30 Jun 2023. Permohonan memang atas tujuan pertanian.

"Masalah sekarang apabila syarikat terbabit tidak memaklumkan mengenai perniagaan tapak perkhemahan yang dibuat secara besar-besaran walaupun kita tidak ada akta dan undang-undang khusus mengenai perkara ini.

"Lagi pula ia dijalankan di tanah hak milik persendirian dan bukan hutan simpan. Sama juga kes pengunjung lain yang mendirikan khemah di kawasan peranginan tepi sungai dan lain-lain," katanya.

Menurutnya, kejadian yang berlaku itu membawa kepada perbincangan untuk mengkaji semula peraturan sedia ada berkenaan perkhemahan di tepi sungai dan cerun bukit.

"Walaupun tidak ada undang-undang khusus mengawal perkhemahan di tepi cerun, tapi kita akan tengok semula peraturan sedia ada. Ini kerana, kejadian yang berlaku ini terlalu dekat dengan cerun. Memang tidak dapat nak diselamatkan.

"Kita nak tengok semula kawasan cerun dan sungai iaitu berapa jarak sesuai untuk mendirikan khemah. Ia bagi mengelakkan insiden sama berulang," katanya.

HEE bercakap kepada media. FOTO Sudirman Mohd Tahir
HEE bercakap kepada media. FOTO Sudirman Mohd Tahir

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 16 Disember 2022 @ 4:15 PM