PEGAWAI MPHS memeriksa kilang perkhidmatan sewaan dan penyelenggaraan jentera pembinaan di daerah tidak mempunyai KM dan Pelan Bangunan pada 30 November lalu. FOTO ihsan MPHS
PEGAWAI MPHS memeriksa kilang perkhidmatan sewaan dan penyelenggaraan jentera pembinaan di daerah tidak mempunyai KM dan Pelan Bangunan pada 30 November lalu. FOTO ihsan MPHS
Amirul Aiman Hamsuddin


Hulu Selangor: Sebuah kilang perkhidmatan sewaan dan penyelenggaraan jentera pembinaan di daerah ini diserbu kerana dipercayai tidak mempunyai Kebenaran Merancang (KM) dan Pelan Bangunan.

Serbuan dilakukan pada 9 pagi, 30 November lalu di kawasan perindustrian Zurah, Rasa, dekat sini.

Majlis Perbandaran Hulu Selangor (MPHS) menerusi kenyataan memaklumkan, operasi dianggotai 15 kakitangannya bersama polis.

"Sebaik tiba didapati kilang itu sedang beroperasi dan pemeriksaan lanjut dilakukan di sekitar premis.

"Hasil semakan mendapati struktur atau bangunan kilang tidak mempunyai KM dan Pelan Bangunan dari MPHS," katanya, hari ini.

MPHS berkata, pihaknya turut mendapati premis dalam keadaan kotor dengan pengurusan sisa kilang yang tidak teratur.

"Tindakan kompaun dan pematuhan notis selama 14 hari dikenakan terhadap premis di atas kesalahan menjalankan pemajuan tanpa kebenaran MPHS dan permohonan lesen perniagaan kilang itu gagal diperolehi," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 2 Disember 2021 @ 11:50 AM