FOTO HIASAN.
FOTO HIASAN.
BERNAMA

Seremban: Kerajaan Negeri Sembilan bercadang memperkenalkan permit khas berkaitan keselamatan kepada pengusaha tapak perkhemahan di negeri ini, kata Exco Kesejahteraan Bandar, Perumahan, Kerajaan Tempatan dan Kampung Baru negeri, Teo Kok Seong.

Teo berkata memandangkan aktiviti perkhemahan semakin popular di negeri ini, garis panduan lebih jelas penting diwujudkan bagi aspek keselamatan pengunjung dan pengusaha tapak perkhemahan dapat menjalankan aktiviti mereka dengan lebih baik.

Katanya pihak berkuasa tempatan (PBT) mencadangkan pengusaha tapak perkhemahan perlu mengemukakan permohonan kebenaran merancang tempoh terhad (KMTT) untuk aktiviti masing-masing.

"KMTT kebiasaannya digunakan untuk pemutihan dan tempohnya selama lima hingga 10 tahun. Kalau mereka mendapat permohonan ini, pihak kerajaan negeri akan mengkaji untuk mewujudkan permit khas bagi kategori pengusaha perkhemahan ini," katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan perjumpaan bersama 15 pengusaha tapak perkhemahan dan wakil PBT di negeri ini.

Beliau berkata, bagi tindakan selanjutnya perkara tersebut akan dibincangkan lebih menyeluruh dalam mesyuarat Exco sebelum keputusan dibuat.

Dalam pada itu, Teo berkata, lokasi tapak perkhemahan di negeri ini berada pada tahap keselamatan yang baik dan tiada isu berkaitan cerun atau tanah runtuh membabitkan tapak perkhemahan.

Negara baru-baru ini dikejutkan dengan tragedi tanah runtuh di tapak perkhemahan Father's Organic Farm, Jalan Batang Kali-Genting Higlands, Selangor membabitkan 92 mangsa dengan 61 daripadanya terselamat manakala 31 lagi terkorban.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 10 January 2023 @ 2:22 PM