Mahaizura Abd Malik

Kuala Lumpur: Sesi persidangan Dewan Rakyat hari ini sedikit tegang apabila Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengeluarkan perkataan biadap dan kurang ajar terhadap Pas kerana mengaitkan beliau dengan Israel.

Kekecohan itu bermula apabila Anwar yang sedang memberikan penjelasan mengenai isu Palestin pada Waktu Pertanyaan Menteri tiba-tiba mendakwa Pas menggunakan gambar beliau berlatar belakangkan bendera Israel dalam sebuah artikel Harakah.

"Dengar ya, supaya Ketua Dewan Ulama (Pas) gunakan Harakah mengaitkan saya dengan Israel. Itu kenyataan biadap yang langgar tatasusila.

"Fitnah guna serban tak sah. Saya bantah sekeras-kerasnya kalau diulang saya akan ambil tindakan keras terhadap sesiapa yang menggunakannya.

"Ini saya sebut membina mahligai atas pusara orang mati dan kita kerja setiap hari minta OIC (Pertubuhan Kerjasama Islam) adakan sidang bawa Rusia, China, Brazil, Ireland, Bolivia, bincang dengan Jepun, Netherlands (Belanda) dan minggu ini dengan Naib Presiden China tetapi sewenangnya berikan hukuman biadap dan kurang ajar," katanya.

Anwar menjelaskan, beliau sendiri membawa isu Palestin ke Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ), Julai lalu.

"Faham sedikit dalam hal ini, jangan permainkan sebagai bahan politik, tak kira parti harus bersama memberikan sokongan supaya rakyat Malaysia dan dunia tahu Malaysia satu suara menyokong perjuangan Palestin.

"Ini pendirian dibuat supaya jelas kepada kita, walaupun saya katakan tadi Amerika Syarikat buat keputusan itu unileteral.

"(Tapi) kenyataan kita tak setuju dan keduanya tak memberi kesan, saya sudah beritahu tak akan terima bila ada ugutan termasuk ini," katanya.

ANWAR menunjukkan gambar beliau dengan latar belakang bendera Israel.
ANWAR menunjukkan gambar beliau dengan latar belakang bendera Israel.

Serentak itu, Datuk Seri Dr Ronald Kiandee (PN-Beluran) dan Datuk Rosol Wahid (PN-Hulu Terengganu) mempertikaikan penggunaan perkataan biadab dalam Dewan Rakyat sebelum Speaker Dewan Rakyat, Tan Sri Johari Abdul turut menyampuk.

Anwar: Boleh! Kalau baca kenyataan, saya minta Beluran baca Harakah, gambar saya dengan bendera Israel belakang. Mana boleh Dewan Ulama macam itu.

Rosol: Perkataan biadap tidak boleh guna.

Johari: Yang PM sebut itu ekor apa yang dibuat dalam akhbar.

Ronald: Dia disalah gunakan dalam Dewan nanti YB (Yang Berhormat).

Datuk Ahmad Saad @ Yahaya (PN- Pokok Sena) kemudian bangun dengan menggunakan Peraturan Mesyuarat 36 (6) dan meminta Anwar menarik perkataan biadap dan kurang ajar berkenaan sebelum dicelah Howard Lee (PH-Ipoh Timor).

Ahmad: Mula-mula tadi saya tak faham apa dikatakan. Apabila saya rujuk Harakah, Anwar ragu-ragu sokong Palestin? Tanda soalan di hujung ini bukan tuduhan tetapi persoalan.

Howard: Dia (PM) bukan ahli, 36 (6) hanya terpakai untuk ahli Dewan YB.

Ahmad: Satu persoalan bukan satu pertuduhan sebagaimana persoalan dijawab PM hari ini kita jelas sikap pendirian kerajaan. Kita sama ada sana sini, sama-sama menyokong Palestin jadi istilah tuduhan sebagai biadap dan kurang ajar saya minta YB tarik lah.

Anwar kemudian menjelaskan mengapa beliau terguris dengan isu itu selain meminta Harakah membetulkan artikel berkenaan.

"Mengapa saya marah gambar saya di belakangnya bendera Israel jadi YB harus faham YB pun rasa keras marah dengan Israel saya pun begitu.

"Jadi dibuat begitu walaupun tiada caption saya rasa Harakah boleh betulkan.

"Tak apa nak tegur, marah kritik saya. Saya terima dengan baik tapi yang ini jangan... jadi kalau begitu penjelasan YB saya ucap terima kasih, kita move on sajalah," katanya.

Pada masa sama, Syed Ibrahim Syed Noh (PH-Ledang) bangkit mencelah mengajak kedua-dua pihak pembangkang mahupun kerajaan menghapuskan penularan tidak perlu sebaliknya menumpukan usaha membantu rakyat Palestin.

Anwar berkata, beliau bersetuju dengan saranan Syed Ibrahim selain mengakui beliau tidak pernah menyinggung Pas berikutan mengetahui pendirian parti itu yang konsisten menyokong perjuangan Palestin sejak dulu.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 7 November 2023 @ 1:12 PM