Timbalan Ketua Polis Segamat, Deputi Superintendan Ng Swie Chait menunjukkan gambar Ithnin Warsan @ Wak Ithnin yang dilaporkan hilang pada 20 September, lalu. FOTO AHMAD ISMAIL
Timbalan Ketua Polis Segamat, Deputi Superintendan Ng Swie Chait menunjukkan gambar Ithnin Warsan @ Wak Ithnin yang dilaporkan hilang pada 20 September, lalu. FOTO AHMAD ISMAIL
Ahmad Ismail.


Segamat: Polis tidak pernah menutup siasatan kes membabitkan warga emas Ithnin Warsan, 79, yang dilaporkan hilang secara misteri pada 20 September, lalu.

Ketua Polis Daerah Segamat Superintendan Ahmad Zamry Marinsah, sebaliknya berkata, siasatan tetap diteruskan dengan mencari bukti dan petunjuk baharu.

"Pihak polis dibantu pelbagai agensi sudah membuat beberapa cara pencarian membabitkan pelbagai pendekatan menyeluruh sebelum ini, namun langsung tiada petunjuk yang dapat membantu siasatan setakat ini.

"Orang ramai juga dapat membantu polis menyebarkan maklumat berhubung kes orang hilang (OH) antaranya melalui media sosial.

"Sekiranya ahli keluarga mahupun orang ramai mempunyai sebarang maklumat berkaitan kes, sila berhubung dengan pihak Polis Segamat di talian 07-9312222 atau boleh salurkan maklumat di balai polis berhampiran.

"Saya juga ingin mengingatkan orang ramai supaya tidak menimbulkan sebarang spekulasi tidak tepat di laman sosial berkaitan kes berkenaan merugikan dari sudut perkembangan siasatan selain tekanan kepada waris," katanya ketika ditemui di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Segamat di sini, hari ini.

Hadir sama Timbalan Ketua Polis Daerah Segamat, Deputi Superintendan Ng Swie Chait.

Media sebelum ini melaporkan, dalam kejadian jam 7.15 malam pada 20 September lalu, Ithnin dikatakan berada di halaman kediamannya di Kampung Tungku Tiga di sini, sebelum menghilang tanpa jejak.

Anaknya, Noor Azali, 44, berkata, sehingga kini dia masih menanti kepulangan bapanya walaupun sudah hampir tiga bulan kejadian itu berlaku.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 14 Disember 2022 @ 2:37 PM