Ahmad Ismail


Segamat: Pelbagai rokok dan arak seludup bernilai RM121,007 dirampas dalam serbuan di sebuah kedai runcit dan kediaman di sekitar Batu Anam, di sini, semalam.

Serbuan dilakukan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Segamat dan Pasukan Polis Marin (PPM) Wilayah Dua mulai 7.45 malam sehingga jam 9 malam.

Ketua Polis Daerah Segamat, Superintendan Ahmad Zamry Marinsah berkata, dalam serbuan itu, peniaga runcit berusia 35 tahun yang juga disyaki ahli sindiket penyeludupan ditahan bersama 419 karton rokok dan 85 karton arak pelbagai jenama.

"Berdasarkan intipan dan maklumat risikan ke atas suspek sejak beberapa hari mendapati dia turut menyimpan pelbagai karton rokok dan arak seludup pelbagai jenama di rumahnya yang terletak kira-kira 1 kilometer (km) dari kedai runcitnya.

"Suspek dipercayai menjadikan kediamannya sebagai stor untuk menyimpan mengedar barangan berkenaan," katanya dalam sidang media di IPD Segamat, hari ini.

Turut hadir Timbalan Ketua Polis Daerah Segamat, Deputi Superintendan Ng Swie Chait.

Beliau berkata, suspek disyaki terbabit dalam kegiatan mengedar rokok dan arak seludup ke kedai runcit tidak berlesen di sekitar kawasan Segamat sejak dua bulan lalu.

"Suspek ditahan dan semua barangan dirampas. Kes disiasat mengikut Seksyen 135 (1) (d) Akta Kastam 1967.

"Tangkapan dan rampasan berkenaan berjaya memutuskan satu rangkaian sindiket pengedaran rokok tidak bercukai di sekitar Segamat termasuk kepada warga tempatan juga pekerja warga asing.

"Lelaki warga tempatan berkenaan kini direman selama empat hari sehingga 18 September untuk siasatan lanjut.

"Polis meminta orang awam untuk terus menyalurkan maklumat kepada pihak polis bagi mengekang lambakan barangan kontraban sekitar Segamat melalui talian hotline 07-9312222 atau balai polis berhampiran," katanya.

AHMAD Zamry (tengah) menunjukkan pelbagai jenama rokok dan arak seludup yang dirampas. FOTO Ahmad Ismail
AHMAD Zamry (tengah) menunjukkan pelbagai jenama rokok dan arak seludup yang dirampas. FOTO Ahmad Ismail

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 15 September 2022 @ 4:37 PM