NOOR Azali menunjukkan tiga patung harimau yang diletakkan dikebun bapanya. FOTO Ahmad Ismail
NOOR Azali menunjukkan tiga patung harimau yang diletakkan dikebun bapanya. FOTO Ahmad Ismail
Ahmad Ismail.


Segamat: Sejak hampir sebulan lalu rasa rindu anak terhadap bapanya yang hilang secara misteri di Kampung Tungku Tiga dekat sini tidak pernah padam.

Sehingga kini Ithnin Warsan, 79, bekas tentera juga pekebun sawit dan getah yang hilang tanpa sebarang jejak sehingga kini belum ditemui.

Anaknya Noor Azali Ithnin, 44, berkata, rasa rindu terhadap bapanya juga dikenali Wak Ithnin semakin menebal terutama menjelang hari lahirnya pada 30 Oktober ini.

"Kehilangan bapa sangat dirasai, tambahan pula bapa sentiasa ada bersama saya dan adik beradik lain. Bila teringatkannya kami akan menitiskan air mata dan sentiasa memohon agar dia pulang dan ditemui selamat.

"Tiga ekor patung harimau milik bapa diletakkan di dusun dan kebun getah untuk menakutkan makhluk perosak, bila rindukan dia, saya akan usap kepalanya.

"Ia dibeli bapa di sebuah kedai hiasan di Air Hitam berharga RM80 seekor sejak 10 tahun lalu," katanya.

Menurutnya, tindakan itu menarik perhatian penduduk kampung dan ada yang melambai tangan, merakam video dan gambar hingga tular di laman sosial.

"Apa lagi yang mampu saya buat, bapa hilang dan tidak ditemui selepas dua minggu operasi mencari dan menyelamat. Namun saya reda," katanya ketika di sini, hari ini.

Menurutnya, insiden kehilangan ahli keluarga bukan pertama kali berlaku, dimaklumkan moyang pernah hilang secara misteri di sekitar Parit Jawa di daerah Muar tahun 1940-an namun sehingga kini tiada khabar berita.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Segamat, Superintendan Ahmad Zamry Marinsah, berkata operasi SAR disertai anggota polis dan bomba ditamatkan namun akan diteruskan jika terdapat petunjuk baru.

Dalam pada itu Noor Azali menyifatkan pemilihan nama bapanya di sebatang jalan di kampung itu sebagai satu pengiktirafan ke atas jasa bapanya kepada penduduk setempat.

"Jalan Ithnin sepanjang 2.5 kilometer ini adalah jalan pintas utama terpanjang dalam kampung yang turut menghubungkan Kampung Tungku Tiga ke Felda Pemanis dan wujud ketika zaman darurat pada 1950-an," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 16 Oktober 2022 @ 2:31 PM