Ahmad Ismail.


Segamat: Waris keluarga Ithnin Warsan, 79, yakin warga emas itu masih hidup namun tidak dapat dikesan sejak kehilangannya pada 19 September lalu.

Keyakinan itu berdasarkan tiada sebarang bukti kukuh atau petunjuk jelas membuktikan perkara sebaliknya selepas pelbagai usaha pencarian dilakukan pasukan penyelamat, sukarelawan dan pengamal perubatan tradisional.

Anaknya, Noor Azali Ithnin, 44, berkata, keluarga sehingga hari ini berharap ada petunjuk atau sebarang bukti yang boleh mengaitkan kehilangan Ithnin.

"Saya dan keluarga yakin bapa masih ada (hidup), sebabnya kalau diikutkan unit yang digerakkan (mencari) adalah unit terbaik daripada pelbagai agensi pasukan pencarian.

"Pencarian turut menggunakan unit anjing pengesan (K9) polis Segamat, tetapi masih belum jumpa.

"Kalau kata sudah tiada mungkin boleh ditemui dengan K9, tetapi sampai hari ini tak jumpa. Oleh itu kami beranggapan dia masih ada dan hidup. Moga akan ada petunjuk baru, " katanya ditemui di Kampung Tungku Tiga di sini, hari ini.

Tambahnya lagi, pihak keluarga tidak mampu mengekang desas desus yang disebarkan orang ramai di media sosial.

Sementara itu, Pegawai Daerah Segamat, Hasrin Kamal Hashim berkata, pihaknya akan menggunakan dron untuk mengesan Ithnin esok di beberapa lokasi sekitar kebun, hutan simpan dan kawasan terpencil sekitar Kampung Tungku Tiga, di sini.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 25 September 2022 @ 6:40 PM