KENDERAAN orang ramai terkandas selepas jalan Kuala Berang ke Ajil dinaiki air berikutan hujan lebat. FOTO Bernama
KENDERAAN orang ramai terkandas selepas jalan Kuala Berang ke Ajil dinaiki air berikutan hujan lebat. FOTO Bernama
Zatul Iffah Zolkiply


Kuala Terengganu: Jumlah mangsa banjir di Terengganu menurun kepada 9,915 mangsa daripada 2,736 keluarga setakat jam 10 malam ini.

Ia menunjukkan sedikit penurunan berbanding 10,103 penduduk daripada 2,812 keluarga petang tadi.

Setakat jam 10 malam, kesemua mangsa ditempatkan di 111 pusat pemindahan sementara (PPS) yang dibuka di seluruh Terengganu berbanding 118 PPS sebelum ini.

Berdasarkan laporan Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Terengganu, seramai 3,166 mangsa daripada 918 keluarga berada di 28 PPS di Hulu Terengganu.

Di Dungun, 31 PPS masih dibuka bagi menempatkan 2,613 mangsa daripada 716 keluarga.

Seramai 1,942 penduduk (572 keluarga) berada di 24 PPS di Setiu manakala di Kemaman, seramai 1,114 mangsa (302 keluarga) ditempatkan di sembilan PPS.

Selain itu, di Besut, seramai 940 mangsa (191 keluarga) berlindung di 14 PPS dan dua PPS di Marang masih aktif bagi menempatkan 30 keluarga membabitkan seramai 110 penduduk.

Seramai 17 penduduk (empat keluarga) yang terjejas di Kuala Terengganu ditempatkan di sebuah PPS manakala 13 mangsa daripada tiga keluarga berada di dua PPS di Kuala Nerus.

Sementara itu, paras air di kebanyakan sungai utama di Terengganu mula menunjukkan penurunan.

Ketika ini, tujuh sungai di Terengganu masih mencatatkan bacaan melepasi paras bahaya.

Selain itu, enam lagi sungai melepasi paras amaran manakala 10 lagi paras waspada.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 26 Disember 2023 @ 11:01 PM