Zatul Iffah Zolkiply

Kuala Terengganu: Seramai 312 mangsa banjir masih ditempatkan di pusat pemindahan sementara (PPS) di tiga daerah di Terengganu.

Setakat 6 petang tadi, kesemua mangsa daripada 85 keluarga itu ditempatkan di tujuh PPS di Kuala Terengganu, Kuala Nerus dan Setiu.

Bagaimanapun, jumlah itu menurun berbanding 326 mangsan (87 keluarga) pada 12 tengah hari.

Berdasarkan maklumat Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Terengganu, Kuala Nerus merekodkan jumlah mangsa tertinggi iaitu 200 mangsa daripada 50 keluarga.

Mereka menghuni dua PPS iaitu Sekolah Kebangsaan (SK) Tok Jembal dan SK Bukit Nanas.

Di Kuala Terengganu, seramai 66 mangsa daripada 21 keluarga ditempatkan di SK Chendering dan SK Atas Tol, manakala tiga PPS di Setiu menempatkan 46 mangsa daripada 14 keluarga.

Sebelum itu, PPS di Balai Raya Kampung Bukit Mak Som yang menempatkan 14 mangsa daripada dua keluarga ditutup pada 4.15 petang.

Ketika ini, hujan renyai masih melanda di beberapa daerah di Terengganu.

Sementara itu, laman web rasmi Public InfoBanjir Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) menunjukkan Sungai Nerus di Kampung Bukit, Setiu melepasi paras amaran dengan bacaan 13.08 meter (m) berbanding paras normal 6m.

Dua lagi sungai Sungai Nerus di Kampung Langkap dan Sungai Chalok di Jambatan Chalok di Setiu masing-masing berada pada paras waspada dengan bacaan 19.91m dan 7.18m.

MOHD Shahrul Nizam Ab Rahman, 34, berjalan meredah banjir di rumahnya di Kampung Titian Baru. FOTO Ghazali Kori.
MOHD Shahrul Nizam Ab Rahman, 34, berjalan meredah banjir di rumahnya di Kampung Titian Baru. FOTO Ghazali Kori.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 10 Disember 2022 @ 8:11 PM