MANGSA banjir yang ditempatkan di Pusat Perpindahan Sementara (PPS), Kampung Shukor. FOTO Ghazali Kori
MANGSA banjir yang ditempatkan di Pusat Perpindahan Sementara (PPS), Kampung Shukor. FOTO Ghazali Kori
Zatul Iffah Zolkiply


Dungun: Hanya daerah ini yang masih terjejas akibat banjir di Terengganu selepas pusat pemindahan sementara (PPS) di Dewan Sivik Air Putih di Kemaman ditutup.

PPS yang sebelum ini menempatkan seramai 37 mangsa daripada tujuh keluarga dibuka pada 8 pagi semalam bagi menempatkan penduduk yang terjejas.

Berdasarkan laporan Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Terengganu, seramai 248 mangsa daripada 85 keluarga ditempatkan di dua PPS di daerah Dungun.

Daripada jumlah itu, seramai 177 mangsa daripada 64 keluarga ditempatkan di PPS di Dewan Orang Ramai Kampung Pasir Raja.

Manakala PPS di Dewan Serbaguna Kampung Shukor yang dibuka 8.30 pagi tadi menempatkan 71 mangsa daripada 21 keluarga.

Ketika ini, hujan masih melanda di beberapa kawasan di Terengganu dan beberapa lembangan sungai utama menunjukkan trend mendatar.

Berdasarkan laporan infobanjir.water.gov.my, empat sungai di Terengganu melepasi paras amaran.

Ia membabitkan Sungai Nerus di Kampung Bukit, Setiu yang merekodkan bacaan 12.17 meter ( M) melepasi paras normal 6 m.

Tiga lagi sungai yang melepasi paras amaran adalah Sungai Berang di Kampung Menerong, Hulu Terengganu (24.43 m) serta dua sungai di Dungun iaitu Sungai Dungun di Kampung Pasir Raja (36.72 m) dan Sungai Dungun di Kuala Jengai (20.53 m).

Sementara itu, enam sungai melepasi paras waspada membabitkan dua di Besut dan Setiu serta masing-masing satu di Dungun dan Kemaman.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 18 Disember 2021 @ 8:29 PM