(Gambar kiri) MOHD Faris Azrin menangis ketika mendukung Siti Esah. (Gambar kanan) MOHD Faris Azrin dan isteri, Nur Ainn bersama Siti Esah. FOTO IHSAN MOHD FARIS AZRIN SAADON
(Gambar kiri) MOHD Faris Azrin menangis ketika mendukung Siti Esah. (Gambar kanan) MOHD Faris Azrin dan isteri, Nur Ainn bersama Siti Esah. FOTO IHSAN MOHD FARIS AZRIN SAADON
Redzuan Muharam


Merlimau: Biarpun tidak sihat, Siti Esah Ahmad gagahkan dirinya untuk bersama memeriahkan majlis persandingan anaknya, Mohd Faris Azrin Saadon, kelmarin.

Kesungguhan Siti Esah, 60, membuatkan Mohd Faris Azrin, 34, yang bekerja sebagai penyelia kedai roti gagal menahan sebak melihat ibunya itu.

Kisah Mohd Faris Azrin itu mendapat perhatian selepas tular video dimuat naik sepupunya di TikTok, semalam.

Menerusi video itu, kelihatan Mohd Faris Azrin yang juga anak kedua daripada lima beradik menangis ketika mendukung ibunya.

Berkongsi kisah sebenar, Mohd Faris Azrin berkata, video itu dirakam selepas majlis persandingan di rumah keluarganya dekat Kampung Bukit Tembakau, di sini.

Katanya, majlis berjalan lancar namun hatinya tersentuh kerana melihat ibunya ada bersama walaupun tidak sihat akibat demam.

"Selepas bersanding, deejay majlis minta saya mohon restu dengan emak. Entah mengapa, detik itu buat saya benar-benar tersentuh mungkin kerana melihat emak datang walaupun sudah tiga minggu demam dan tidak bermaya.

"Itu yang sedih kerana lihat emak kuatkan dirinya demi saya, anaknya ini," katanya ketika dihubungi Harian Metro.

Bercerita lanjut, Mohd Faris Azrin berkata, bapanya sudah meninggal dunia sejak tujuh tahun lalu akibat strok.

"Sejak itu, emak yang mengambil alih tugas ayah malah pernah bekerja di kilang dengan gaji RM400 untuk menampung keperluan keluarga.

"Ikutkan, memang banyak yang emak lakukan untuk membesarkan kami adik beradik.

"Kami juga sudah minta emak berehat tetapi dia enggan malah kini masih bekerja sebagai petugas pembersihan di inap desa, Limastiga," katanya.

Berhubung video yang tular, Mohd Faris Azrin berkata dia tidak sangka ia akan dapat perhatian dan menyentuh hati netizen.

"Alhamdulillah, ramai doakan saya dan emak, diharap yang baik juga berbalik kepada mereka.

"Semoga mereka yang menonton video itu dapat ambil mesej positif iaitu menjaga ibu mereka selagi masih ada.

"Ia kerana tiada apa di dunia ini yang boleh gantikan emak malah cinta pertama anak adalah pada ibunya.

"Jujurnya, saya masih belum puas menjaga emak malah arwah ayah pernah berpesan supaya jaga emak dan jangan terburu-buru kahwin. "Namun emak beri restu kerana baginya, sudah tiba masa saya berumah tangga," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 13 Disember 2022 @ 5:56 PM