NIK Azlina menyuap makanan buat ibunya.
NIK Azlina menyuap makanan buat ibunya.
Oleh Redzuan Muharam


Kota Bharu: "Saya berasa bertuah kerana dalam ramai adik beradik, saya dipilih Allah SWT untuk menjaga emak yang mengalami masalah dementia (nyanyuk)," kata Nik Azlina Nik Soh, 31,

Cabarannya sebagai ibu tunggal kepada dua anak berumur tujuh dan sembilan tahun cukup besar apabila perlu menjaga dan menguruskan ibunya, Hasnah Ismail, 73, yang mengidap nyanyuk tahap enam.

Menurut Nik Azlina, tanggungjawab digalas itu bukan hanya menuntut komitmen malah kesabaran tinggi kerana ibunya sudah tidak boleh menguruskan diri malah perlu dipantau setiap masa seperti anak kecil.

Bagaimanapun, Nik Azlina cuba memikul amanah itu dengan sebaiknya tanpa mengabaikan tanggungjawab sebagai ibu kepada dua anak.

"Emak disahkan mengalami masalah dementia kira-kira tiga tahun lalu oleh doktor pakar di hospital.

"Emak dibawa ke hospital selepas menunjukkan simptom lupa kronik antaranya tidak dapat lakukan rutin memasak seperti kebiasaan.

"Pernah juga dia nak ke kedai tetapi lupa memakai tudung. Emak jadi begitu ketika ayah (Nik Soh@Nik Yusoff Nik Hassan) masih ada sebelum meninggal dunia tahun lalu," katanya ketika dihubungi Harian Metro.

Nik Azlina berkata, keluarganya agak besar malah dia adalah anak ke-12 daripada 13 beradik.

Menurut Nik Azlina, adik beradik lain masih mengambil berat terhadap keadaan ibunya malah memberikan wang belanja namun dia mengambil tanggungjawab menjaga ibunya.

"Sebelum berpisah dengan bekas suami tiga tahun lalu, saya dan anak sudah tinggal dengan emak dan ayah.

"Jadi, sejak itu saya membantu menjaga mereka. Mulanya memang tertekan kerana emak memang tidak boleh berdikari sejak ada dementia. Saya perlu uruskan keperluannya termasuk cuci dan buang najisnya.

"Selepas reda dengan ujian Allah SWT, semuanya dipermudahkan malah saya tidak pernah rasa terbeban.

"Lagipun, masa saya fleksibel dan dapat bawa emak bersama ke kedai pakaian kerana berniaga sendiri," katanya.

Di sebalik ragam dan kerenah ibunya, Nik Azlina bersyukur kerana masih dipanjangkan umur dan diberi kesempatan berbakti dengan ibunya.

"Kepuasannya adalah apabila emak duduk dengan saya dan ada di depan mata. Tak dapat bayangkan bagaimana hidup saya tanpa emak kerana pasti sunyi rasanya.

Berhubung perkongsian di TikTok, Nik Azlina berkata, video terawal dimuat naik ketika dia putus semangat.

"Rupanya, ramai alami nasib sama malah ada kongsikan pengalaman menerusi kiriman mesej di TikTok.

"Sejak itu, saya sedar saya tidak berseorangan dan bersyukur kerana ramai mendoakan. Buat masa ini, fokus saya adalah menjaga emak. Tak fikir pun soal kahwin lagi kerana emak tidak boleh tidur sendiri," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 13 Mac 2023 @ 8:01 AM