GAMBAR kenangan Muhamad Shahrul bersama arwah ibu, Rosidah dan bapanya, Mansor. Gambar kanan, Muhamad Shahrul selepas majlis konvokesyen. FOTO Ihsan Muhamad Shahrul Mansor
GAMBAR kenangan Muhamad Shahrul bersama arwah ibu, Rosidah dan bapanya, Mansor. Gambar kanan, Muhamad Shahrul selepas majlis konvokesyen. FOTO Ihsan Muhamad Shahrul Mansor
Redzuan Muharam


Kajang: "Sehari je (saja) lagi emak, kenapa tak tunggu uda?," luah Muhamad Shahrul Mansor, 23, menerusi satu video di TikTok selepas ibunya, Rosidah Abdul Khalid meninggal dunia akibat serangan jantung.

Lebih menyedihkan, Rosidah dijemput Ilahi pada 27 November lalu iaitu sehari sebelum Muhamad Shahrul menerima skrol Ijazah Sarjana Muda Keusahawanan Inovasi dalam majlis konvokesyen di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) Bangi, Selangor.

Bercerita lanjut, Muhamad Shahrul yang bekerja sebagai pembantu am di Sekolah Menengah Agama Persekutuan Kajang, di sini berkata, sejak kecil lagi dia sangat rapat dengan ibunya jadi amat terkesan dengan pemergian itu.

Tambahan, ibunya meninggal dunia sebelum sempat melihat kejayaannya menggenggam segulung ijazah.

"Pagi sehari sebelum kejadian, saya ada bersembang menerusi telefon dengan emak dan dia ada bertanya nak gerak jam berapa dan pakai baju apa untuk ke konvokesyen. Emak juga pesan untuk ingatkan alang (abang) ambil cuti supaya dapat menemankannya ke majlis konvokesyen.

"Petang hari sama, saya terima panggilan daripada abah yang beritahu emak sudah tiada. Terdiam juga waktu itu kerana dapat berita tak lama selepas bersembang dengannya (emak)," katanya ketika dihubungi Harian Metro.

Menurut Muhamad Shahrul, dia ada menerima petunjuk melalui mimpi lima hari sebelum ibunya meninggal dunia.

Katanya, dalam mimpi itu ibunya meninggal dunia, cuma dia dan kembarnya Muhamad Khairul Mansor, 23, tidak dapat menemui pusaranya.

"Saya ada kongsi kisah mimpi itu dalam kumpulan WhatsApp keluarga cuma tak beritahu individu yang meninggal dunia itu adalah emak kerana bimbang menyinggung perasaannya. Jadi, saya diamkan saja dan Jumaat minggu yang sama, emak ajak teman dia ke bank untuk uruskan berkaitan wang Amanah Saham Bumiputera (ASB) kerana tak nak lagi ada urusan dengan bank.

"Pelik juga namun saya tak fikir itu petanda emak nak pergi dan keesokannya, kami keluar makan bersama serta teman saya gunting rambut. Sebelum saya pulang ke rumah sewa, emak masakkan sambal sotong dan itu masakan terakhirnya yang saya masak sebelum dia meninggal dunia, dua hari kemudian," katanya.

MUHAMAD Shahrul Mansor menziarahi pusara ibunya selepas majlis konvokesyen. FOTO Ihsan Muhamad Shahrul Mansor
MUHAMAD Shahrul Mansor menziarahi pusara ibunya selepas majlis konvokesyen. FOTO Ihsan Muhamad Shahrul Mansor

Muhamad Shahrul akui sedih kerana tidak dapat meraikan kejayaan dengan ibu yang banyak memberinya semangat untuk terus belajar.

"Sepanjang tempoh tiga tahun pengajian, saya pernah nak putus asa tetapi mak bagi semangat kata saya boleh lakukan. Apabila pengacara majlis minta tunjuk ibu bapa yang berjuang hingga berjaya, saya tunduk menangis kerana mengenangkan emak yang sudah tiada. Tapi saya cuba senyum juga dengan ambil gambar bersama potret emak dan abah yang tak datang kerana kurang sihat.

"Sedih sangat tapi bersyukur kerana saya dan adik beradik berpeluang uruskan jenazah emak daripada awal hingga pengebumiannya di Tanah Perkuburan Islam Kampung Sepri, Jelebu, Negeri Sembilan kira-kira 7.40 malam hari sama arwah meninggal dunia," katanya yang berkongsi kisah sedihnya itu di TikTok dengan mengharapkan orang ramai mendoakan kesejahteraan roh ibunya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 4 Disember 2023 @ 7:10 PM