Baharom Bakar


Kuala Terengganu: Empat beranak terpaksa bermalam di dalam kereta selepas kediaman mereka ditenggelami air sedalam kira-kira 0.5 meter awal, pagi ini.

Halina Mohamed, 52, dari Kampung Mengabang Tengah, Batu Burok, di sini, berkata, dia dan keluarganya hanya menyedari kediamannya dinaiki air selepas secara tiba-tiba bekalan elektrik terputus, kira-kira 12.30 tengah malam.

Sebelum kejadian, katanya, suami Awang Omar, 66, sudah memindahkan kereta ke tempat lebih tinggi selepas hujan lebat dan angin kencang melanda sejak petang, semalam.

"Kami juga sempat memindahkan barangan elektrik dan perabot ke tempat lebih tinggi dalam rumah sejak jam 6 petang semalam.

"Disebabkan keletihan, kami tertidur dan hanya menyedari rumah sudah dinaiki air selepas bekalan elektrik secara tiba-tiba terputus," katanya ketika ditemui di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) di Sekolah Kebangsaan (SK) Chendering, di sini, hari ini.

Halina berkata, dia dan tiga anaknya berusia antara 25 tahun hingga 15 tahun terpaksa menyelamatkan diri dan bermalam di dalam kereta.

Sementara, suami dan seorang lagi anaknya memindahkan perkakas ke tempat yang lebih tinggi dalam rumah.

"Kami dan beberapa jiran yang kediaman turut dinaiki air berpindah ke PPS kira-kira jam 8 pagi ini," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 9 Disember 2022 @ 2:38 PM
HALINDA (tiga kanan) dan anaknya, Didiiryani (dua kiri) berkongsi pengalaman terpaksa tidur dalam kereta kepada anggota APM di PPS di SK Chendering, hari ini. FOTO Baharom Bakar
HALINDA (tiga kanan) dan anaknya, Didiiryani (dua kiri) berkongsi pengalaman terpaksa tidur dalam kereta kepada anggota APM di PPS di SK Chendering, hari ini. FOTO Baharom Bakar