HALINA (kiri) membawa ibu bapa dan anaknya menyaksikan perbarisan Hari Kemerdekaan di Dataran Putrajaya. FOTO Samadi Ahmad
HALINA (kiri) membawa ibu bapa dan anaknya menyaksikan perbarisan Hari Kemerdekaan di Dataran Putrajaya. FOTO Samadi Ahmad
Samadi Ahmad

Putrajaya: "Kami berjalan kira-kira tiga kilometer sambil menolak ayah di atas kerusi roda semata-mata mahu menyaksikan acara perbarisan Hari Kebangsaan Ke 66, "kata Halina Alis, 47, dari Taman Warisan Puteri, Seremban, Negeri Sembilan.

Halina yang juga jururawat di Hospital Seremban berkata, beliau tiba di Putrajaya sekitar jam 7.30 pagi bersama ayahnya, Alias Hasan, 72, ibunya, Siti Hawa Daud, 71, bersama sepasang anak berusia 12 dan 17 tahun.

Menurutnya, disebabkan jalan sesak beliau terpaksa meletakkan kenderaan jauh dari Dataran Putrajaya dan berjalan kaki kerana mahu menunaikan hasrat ibu bapanya yang mahu menyaksikan perarakan Hari Kebangsaan secara dekat pada tahun ini.

Katanya, setiap tahun mereka akan menghadiri sambutan Hari Kemerdekaan di Seremban namun kali ini memilih datang ke Putrajaya untuk mencari kelainan bagi menyaksikan pertunjukan payung terjun Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan kapal terbang.

"Beberapa minggu lalu ibu dan ayah mencadangkan kami datang ke sini bagi menyaksikan perbarisan dan walaupun ayah tidak berapa sihat diserang angin ahmar sejak 10 tahun lalu namun semangatnya sangat kuat untuk hadir memeriahkan sambutan tahun ini, "katanya di sini.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 31 Ogos 2023 @ 11:05 AM