Junaidi Ladjana


“DENTUMAN kuat dan rumah bergegar sebelum bekalan elektrik tiba-tiba terputus. Saya ingatkan gempa bumi susulan di Lombok, Indonesia.”

Begitu kata Simbo Talo, 75, apabila sebuah treler terbabas lalu terjatuh di halaman rumahnya di Kampung Hubot, Kilometer 39 Jalan Kudat-Kota Kinabalu, dekat Kudat, malam semalam.

Sebelum itu, treler muatan kelapa sawit berkenaan bertembung dengan Proton Saga dinaiki tiga beranak sehingga menyebabkan ketiga-tiga mangsa maut.

Kenderaan berat itu kemudian terbabas kira-kira 25 meter hingga memasuki kawasan halaman rumah Simbo.

Dalam kejadian jam 8.20 malam, mangsa Sagandal Soborong, 59, isterinya, Talina Gunsidat, 59, dan anak perempuannya, Racy, 19, ditemui rentung apabila kereta dinaiki mereka turut terbakar.

Menceritakan detik cemas itu, Simbo yang juga pesara kerajaan berkata, sebelum kejadian dia menonton televisyen, manakala isteri, Ausa Hassa, 60, menyiapkan makan malam.

“Tiba-tiba terdengar dentuman kuat sebelum bekalan elektrik terputus. Saya terus keluar dan terkejut melihat sebuah treler terbabas betul-betul di depan halaman rumah,” katanya ketika ditemui di rumahnya, hari ini.

Simbo berkata, dia kemudian memeriksa dan mendapati depan halaman sehingga ke tangga rumah dipenuhi buah kelapa sawit.

“Ketika itu, seorang lelaki tiba-tiba keluar dari pintu pemandu lalu saya menghampiri dan bertanya keadaan lelaki terbabit. Dia (pemandu) mengatakan hanya sakit badan,” katanya.

Menurut Simbo, akibat kejadian itu, kereta Perodua Alza dan motosikal milik anaknya rosak dan tanaman di sekitar halaman rumah turut musnah ditindih buah kelapa sawit, manakala tiang elektrik turut patah.

Sementara itu, Ausa berkata, dia bersyukur kerana rumahnya tidak mengalami kerosakan teruk, namun trauma dengan kejadian.

“Saya dan suami tidak menyedari treler yang terjatuh itu bertembung dengan sebuah kereta lain hingga mengorbankan tiga beranak kerana lokasi kejadian terletak kira-kira 25 meter dari rumah kami.

“Kami hanya menyedari kereta mangsa terbakar selepas melihat api dan bunyi letupan... saya mengenali (semua mangsa) dan amat bersimpati dengan keluarga mereka,” katanya.

Berita berkaitan

Tiga beranak rentung

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 12 Ogos 2018 @ 3:04 PM