Che Daud melihat rumahnya yang ditenggelami air di Kampung Kempas, Mak Bakas. FOTO ZAID SALIM
Che Daud melihat rumahnya yang ditenggelami air di Kampung Kempas, Mak Bakas. FOTO ZAID SALIM
Zaid Salim


Setiu: Tidak sampai 24 jam, tiga keluarga membabitkan lapan mangsa banjir terpaksa kembali semula ke Pusat Pemindahan Sementara (PPS) Surau Kampung Mak Bakas, di sini selepas kediaman mereka dinaiki air, semalam.

Mangsa, Rohani Ismail, 52, berkata, kawasan rumah didiaminya bersama dua keluarga yang juga adik beradiknya di Kampung Kempas, Mak Bakas, di sini, adalah kawasan rendah dan sering dilanda banjir.

Katanya, selepas dibenarkan pulang berikutan air di kawasan kediamannya surut kelmarin, dia bersama suami, Che Daud Che Mat, 60, dan anak perempuan Che Nor Farihan, 24, terpaksa berpindah semula ke Surau Mak Bakas selepas air secara tiba-tiba naik.

"Saya baharu bercadang untuk membersihkan rumah dan membawa turun beberapa barang dan perkakas penting seperti peralatan dapur yang disimpan di tingkat atas.

"Ketika mengemas secara tiba-tiba air memenuhi perkarangan rumah sebelum masuk ke tingkat bawah jam 8 pagi tadi.

"Air naik sangat laju, tidak sampai setengah jam air dalam rumah berada pada paras lutut dan kami sekeluarga bertindak keluar ke kawasan tinggi dengan bantuan bot anak saudara sebelum ke PPS Surau Mak Bakas," katanya ketika ditemui di surau berkenaan, petang semalam.

Menurutnya, selepas menghantar dia dan anak perempuannya ke PPS, suami pulang semula ke rumah untuk melihat keadaan air terkejut apabila mendapati paras air dalam rumah sudah mencecah hampir satu meter.

Rohani berkata, dengan keadaan cuaca yang masih berterusan hujan, dia percaya paras air semakin meningkat dan boleh mencecah sehingga lebih dua meter.

"Setiap tahun hanya rumah kami tiga beradik ini sahaja yang ditenggelami banjir. Tahun lepas air mencecah lebih dua meter dan sebelum ini paras air pernah menenggelamkan tiang elektrik.

"Banjir di kampung berkenaan adalah kesan daripada limpahan air Sungai Nerus di Kampung Sungai Tong yang terletak kira-kira hampir satu kilometer dari rumah," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 17 Disember 2023 @ 8:49 AM