Terminal Feri Pasir Gudang di Jalan Feri, Pelabuhan Pasir Gudang. FOTO Mary Victoria Dass
Terminal Feri Pasir Gudang di Jalan Feri, Pelabuhan Pasir Gudang. FOTO Mary Victoria Dass
Oleh Mary Victoria Dass


Pasir Gudang: Terminal feri Pasir Gudang yang yang beroperasi kira-kira 20 tahun akan ditutup bermula 11 Disember ini.

Pengurus Besar Pasir Gudang Passenger Terminal Sdn Bhd, Mohd Tuah Mohd Amin berkata, operasi feri terakhir di terminal itu (Pasir Gudang ke Batam) adalah pada 5.30 petang pada 10 Disember ini.

Beliau berkata, penamatan operasi terminal feri itu bagi memberi ruang kepada proses penyerahan tanah yang sudah dikosongkan kepada Johor Port Berhad (JPB).

Menurutnya, kontraktor yang dilantik juga akan menjalankan kerja perobohan bangunan utama dan bangunan dalam kawasan berkenaan dalam tempoh terdekat.

Katanya, pemilik tanah memutuskan untuk membatalkan kontrak pajakan tanah walaupun perjanjian boleh disambung bagi tempoh 30 tahun lagi.

"Bagaimanapun, kami akur dengan permintaan JPB supaya mengosongkan tanah serta kami juga sudah memaklumkan perkara berkenaan kepada agensi berkaitan mahupun pengunjung terminal bagi mengelakkan sebarang kekeliruan.

"Terminal ini adalah antara laluan masuk dan keluar negara serta ia memudahkan penumpang untuk berulang-alik dari Johor ke Batam.

"Walaupun terdapat kemudahan terminal lain, namun ia agak berjauhan dan kewujudan terminal ini melancarkan perjalanan penumpang terutama tinggal di sekitar Pasir Gudang," katanya ketika ditemui.

Sementara itu, seorang pemandu teksi, Mohd Noh Yap Abdullah, 65, berkata penutupan terminal feri ini bakal meninggalkan pelbagai impak terutama bagi penumpang dan pemandu teksi.

Menurutnya, dia mengakui mudah mendapat pelanggan yang juga penumpang feri pada setiap hari.

"Kewujudan terminal ini penting kerana ia mampu melonjakkan aktiviti pelancongan Negeri Johor.

"Kami berharap terminal berkenaan dikekalkan demi kemudahan orang ramai selain turut menjadi tempat kami mencari rezeki," katanya.

Sementara itu, Timbalan Pengerusi Persatuan teksi Pasir Gudang, Azizi Mohmad berkata, dalam keadaan ekonomi yang belum stabil, penutupan kekal terminal itu bakal melumpuhkan operasi teksi selain menjejaskan peniaga di bangunan terminal termasuk kaunter tiket feri.

"Kami berharap keputusan bagi penutupan terminal akan dipertimbangkan demi kepentingan awam.

"Diharap pihak pengurusan bangunan diberi peluang untuk membincangkan perkara berkenaan dengan JPB bagi memastikan terminal ini dikekalkan," katanya.

Pemilik kaunter tiket, Ali Awang berkata, ratusan penumpang menggunakan kemudahan terminal berkenaan setiap hari.

"Keseluruhannya terdapat masing-masing empat perjalanan dari Pasir Gudang ke Batam mahupun dari Batam ke Pasir Gudang seawal 8.30 pagi hingga 5.30 petang.

"Terminal ini menyimpan pelbagai kenangan bagi kami mahupun penumpang dan terkilan jika ia ditutup tidak lama lagi," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 1 Disember 2022 @ 5:07 PM