SIVARAJ (gambar fail). FOTO Bernama
 SIVARAJ (gambar fail). FOTO Bernama
Noorazura Abdul Rahman


Padang Serai: Pakatan Harapan (PH) diminta untuk memberi laluan kepada Barisan Nasional (BN) bagi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) Parlimen Padang Serai berikutan peluang BN untuk menang dilihat lebih cerah di kawasan itu.

Calon BN Datuk C Sivaraj berkata, ini berikutan beliau sudah bekerja keras lebih tiga tahun di Padang Serai selain kebanyakan pengundi sudah mengenali beliau.

"Mereka (PH) yang sepatutnya beri laluan kepada kita sebab saya dah tiga tahun bekerja di sini...saya sudah kenali kebanyakan pengundi di sini.

"Jadi peluang kemenangan bagi saya adalah lebih cerah dan lebih baik berbanding pihak lain. (Itu) kalau ikut calon. Tapi kalau ikut ideologi politik parti saya tidak tahu bagaimana unjuran yang akan dibuat, "katanya ketika ditemui ketika berkempen di luar perkarangan Kolej Tingkatan Enam di sini, hari ini.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai keputusan PH untuk memberi laluan kepada calon BN bagi PRU-15 Dewan Undangan Negeri (Dun) Tioman sebagai tanda kesepakatan Kerajaan Perpaduan di peringkat negeri dan nasional semalam.

Sivaraj berkata, setakat ini beliau belum dihubungi oleh kepimpinan BN berhubung perkara itu.

Katanya, buat masa ini beliau akan terus berkempen seperti biasa sehinggalah terdapat sebarang keputusan baharu.

"Jadi setakat ni tak ada apa-apa yang diputuskan oleh kepimpinan atau dimaklumkan kepada saya. Jadi saya akan teruskan kerjalah malah lebih agresif.

"Saya harap kepimpinan akan berbincang dengan saya dahulu sekiranya ada apa-apa keputusan yang hendak dibuat," katanya.

Selain Sivaraj, Parlimen Padang Serai yang menyaksikan pertembungan enam penjuru turut membabitkan calon PH Dr Mohamad Sofee Razak, Datuk Azman Nasrudin (PN), Hamzah Abd Rahman (Pejuang), Mohd Bakri Hashim (Warisan) dan Sreanandha Rao (Bebas).

Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) bagi kerusi Parlimen Padang Serai ditangguhkan selepas calon PH yang juga penyandang, M Karupaiya meninggal dunia pada 16 November lalu, dua hari selepas dimasukkan ke Hospital Kulim akibat serangan jantung.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) yang memutuskan penangguhan PRU-15 di kerusi terbabit kemudian menetapkan 7 Disember ini sebagai tarikh pengundian

Pada PRU-14, Karupaiya memenangi kerusi itu dengan majoriti 8,813 selepas menewaskan Datuk Dr Leong Yong Kong (MCA) dan Muhammad Sobri Osman (PAS).

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 30 November 2022 @ 8:43 PM