Noorazura Abdul Rahman


Padang Serai: Calon Pakatan Harapan (PH) Parlimen Padang Serai, Dr. Mohamad Sofee Razak mengakui dia perlu bekerja kuat untuk memastikan parti itu kekal menang di parlimen berkenaan selepas Barisan Nasional (BN) tetap mahu bertanding di kawasan itu.

Beliau berkata, menjadi tugas besar untuk beliau menang di kawasan itu serta meneruskan perkhidmatan cemerlang penyandang PH, mendiang M. Karupaiya yang meninggal dunia pada 16 November lalu.

"Satu tugas besar kepada saya untuk memastikan PH menang di sini. Seperti mana berlaku di Tioman, PH berkompromi kepada BN.

"Cuma kita harap perkara itu boleh berlaku juga di Padang Serai iaitu BN beri peluang kepada PH. Tapi kalau sekiranya berlaku pertembungan (PH-BN) pada pandangan saya kami kena kerja lebih kuat untuk PH menang," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas menyampaikan ceramah sempena kempen Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) Parlimen Padang Serai di sini, malam tadi.

Semalam media melaporkan, PH mengambil keputusan untuk memberi laluan kepada calon Barisan Nasional (BN) bagi PRU-15 Dewan Undangan Negeri (DUN) Tioman sebagai tanda kesepakatan Kerajaan Perpaduan di peringkat negeri dan nasional.

Setiausaha Agung Parti Amanah Negara (Amanah), Datuk Dr Mohd Hatta Md Ramli dipetik berkata ,bagi memenangkan calon BN, Datuk Seri Mohd Johari Hussain yang mewakili Kerajaan Perpaduan ini, jentera pilihan raya PH akan bergerak secara bersama dalam setiap kempen BN.

Mohamad Sofee, berkata pihaknya belum mengadakan sebarang perbincangan bersama BN berhubung perkara itu setakat ini.

Katanya, keputusan mengenai perkara itu perlu dilakukan oleh pucuk pimpinan PH dan BN di peringkat pusat.

Sementara itu, Setiausaha PH Kedah itu turut mengharapkan pimpinan utama PH turun membantu kempen di Parlimen Padang Serai bagi menaikkan semangat jentera dan menawarkan khidmat terbaik kepada rakyat.

"Bagaimanapun kita faham mereka sedang sibuk termasuk untuk membentuk Kabinet dan urusan lain.

"Selepas selesai perkara itu mungkin sebahagian besar akan turun ke sini kelak," katanya.

Selain Sofee, Parlimen Padang Serai yang menyaksikan pertembungan enam penjuru turut membabitkan calon BN, Datuk C Sivaraj, Datuk Azman Nasrudin (PN), Hamzah Abd Rahman (Pejuang), Mohd Bakri Hashim (Warisan) dan Sreanandha Rao (Bebas).

PRU-15 bagi kerusi Parlimen Padang Serai ditangguhkan selepas calon PH yang juga penyandang, M Karupaiya meninggal dunia pada 16 November lalu, dua hari selepas dimasukkan ke Hospital Kulim akibat serangan jantung.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) yang memutuskan penangguhan PRU-15 di kerusi terbabit kemudian menetapkan 7 Disember ini sebagai tarikh pengundian.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 30 November 2022 @ 12:20 PM