CALON yang bertanding (dari kiri) Mohamad Sofee (PH), Sivaraj (BN), Azman (PN), Hamzah (Pejuang) dan Sreanandha (Bebas) manakala  Mohd Bakhri (Warisan) tidak hadir di Pusat Penamaan Calon, 24 Nov lalu. FOTO arkib NSTP
CALON yang bertanding (dari kiri) Mohamad Sofee (PH), Sivaraj (BN), Azman (PN), Hamzah (Pejuang) dan Sreanandha (Bebas) manakala Mohd Bakhri (Warisan) tidak hadir di Pusat Penamaan Calon, 24 Nov lalu. FOTO arkib NSTP
Noorazura Abdul Rahman

Padang Serai: Calon Barisan Nasional (BN) Datuk C Sivaraj dikatakan akan memberi laluan kepada calon Pakatan Harapan (PH) Dr Mohamad Sofee Razak untuk pilihan raya Parlimen Padang Serai.

Spekulasi mengenai perkara itu semakin hebat diperkatakan selepas Sivaraj membatalkan semua kempennya di Padang Serai, semalam.

Pengumuman mengenai perkara itu dijangka dilakukan oleh pimpinan negeri kedua parti itu di Taman Desa Aman di sini, malam ini.

Difahamkan pimpinan PH dan BN negeri mencapai kata sepakat berhubung perkara itu dalam mesyuarat yang dipengerusikan Pengerusi BN Kedah Datuk Seri Jamil Khir Baharom, malam tadi.

Sehingga kini belum ada sebarang maklum balas daripada pihak Sivaraj mengenai dakwaan MIC bersetuju untuk menarik balik pencalonannya.

Selain Sivaraj dan Sofee, Parlimen Padang Serai menyaksikan pertembungan enam penjuru yang turut membabitkan Datuk Azman Nasrudin (PN), Hamzah Abd Rahman (PEJUANG), Mohd Bakri Hashim (WARISAN) dan Sreanandha Rao (Bebas).

Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) bagi kerusi Parlimen Padang Serai ditangguhkan selepas calon PH yang juga penyandang, M Karupaiya meninggal dunia pada 16 November lalu.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) yang memutuskan penangguhan PRU-15 di kerusi terbabit kemudian menetapkan 7 Disember ini sebagai tarikh pengundian.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 2 Disember 2022 @ 11:50 AM