ANTARA peniaga warga asing yang pernah bebas berniaga di tapak pasar malam di sekitar bandar raya Johor Bahru.
ANTARA peniaga warga asing yang pernah bebas berniaga di tapak pasar malam di sekitar bandar raya Johor Bahru.
Mary Victoria Dass

Johor Bahru: Majlis Bandaraya Johor Bahru (MBJB) melakukan sitaan terhadap penjaja warga asing yang bebas berniaga di 13 tapak pasar malam di sekitar bandar raya ini.

Datuk Bandar Johor Bahru, Datuk Mohd Noorazam Osman berkata, tindakan itu dijalankan mulai 15 April lalu susulan aduan yang dikemuka warga bandar raya serta pemerhatian pihak berkuasa tempatan (PBT) itu.

Beliau berkata, lokasi pasar malam terbabit antaranya Pasar Malam Taman Abad, Kampung Melayu, Taman Pelangi, Taman Johor Jaya, Plentong, Taman Desa Jaya, Taman Daya, Taman Ehsan Jaya, Taman Megah Ria, Bandar Baru Uda, Taman Desa Cemerlang dan Permas Jaya.

Menurutnya, tindakan pemberian notis dan sitaan barangan dilakukan mengikut Undang-Undang Kecil Pelesenan Penjaja (MBJB) 2010 selain tindakan tangkapan warga asing yang dilaksanakan di bawah peruntukan undang-undang Jabatan Imigresen Malaysia.

"Usaha membanteras penjaja warga asing yang dilaksanakan oleh MBJB bersama-sama pihak Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) dan polis pada bulan lalu.

"Operasi penguatkuasaan penjaja warga asing di pasar-pasar malam ini akan dilaksanakan secara berterusan oleh MBJB dari semasa ke semasa.

"Saya ingin mengingatkan kepada penganjur pasar malam agar mematuhi syarat yang ditetapkan dengan tidak

membenarkan penjaja warga asing untuk menjaja di kawasan pasar malam bawah penganjuran masing-masing," katanya menerusi kenyataan media hari ini.

Beliau berkata, MBJB akan mengambil tindakan dengan mengeluarkan notis penggantungan penganjuran pasar malam selama tempoh dua minggu kepada penganjur yang didapati membenarkan warga asing menjalankan aktiviti menjaja di tapak pasar malam.

"Selepas tempoh itu jika masih terdapat penjaja warga asing menjaja dalam tapak pasar malam, MBJB tidak teragak-agak untuk membatalkan terus penganjuran tanpa sebarang notis lagi.

"MBJB juga amat mengalu-alukan orang ramai menyalurkan maklum balas atau aduan berkaitan kewujudan penjaja warga asing di saluran Sistem Pengurusan Aduan Awam (SISPAA)," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 3 Mei 2024 @ 12:51 PM