Sultan Ibrahim Iskandar kesal dengan sikap segelintir masyarakat yang gemar membuang sampah ke dalam longkang, parit dan sungai. FOTO IHSAN RPO
Sultan Ibrahim Iskandar kesal dengan sikap segelintir masyarakat yang gemar membuang sampah ke dalam longkang, parit dan sungai. FOTO IHSAN RPO
Mohamed Farid Noh
am@hmetro.com.my


Johor Bahru: Sultan Johor, Sultan Ibrahim Iskandar kesal dengan sikap segelintir masyarakat yang gemar membuang sampah ke dalam longkang, parit dan sungai hingga menjejaskan saliran air, terutamanya pada musim hujan di kawasan bandar raya ini.

Sultan Ibrahim bertitah, hasil siasatan Majlis Bandaraya Johor Bahru (MBJB) mendapati, banjir kilat yang melanda kawasan bandar raya ini bulan lalu berpunca daripada sistem saliran tersumbat disebabkan sampah sarap dan sisa binaan.

Titah baginda, laporan dan gambar-gambar hasil siasatan MBJB itu dipersembahkan kepada baginda oleh Datuk Bandar MBJB Datuk Noorazam Osman di Pejabat Mados, Istana Bukit Pelangi di sini, baru-baru ini.

"Ia berpunca daripada sikap segelintir masyarakat yang gemar membuang sampah ke dalam sungai, parit dan longkang. Apabila turunnya hujan dalam jumlah yang besar dan tempoh yang lama, maka banjir kilat pasti tidak dapat dielakkan.

"Saya ada melihat gambar-gambar dan rakaman video yang ditunjukkan oleh Datuk Bandar MBJB. Terdapat begitu banyak sampah dibuang termasuk tilam, kayu dan juga peti sejuk. Amat mengecewakan.

"Masyarakat seharusnya lebih bertanggungjawab dengan tidak membuang sampah dalam saliran mahupun sungai. Perbuatan seperti ini kelak menyumbang kepada berlakunya banjir," titah Sultan Johor pada kenyataan yang dimuat naik ke akaun Facebook rasmi baginda, hari ini.

Bulan lalu, Sultan Ibrahim dilaporkan menitahkan Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Johor serta pihak berkuasa tempatan (PBT) supaya menjalankan kajian di semua kawasan yang kerap berlaku banjir kilat di negeri ini terutama Bandaraya Johor Bahru.

Ia susulan banjir kilat yang menenggelamkan banyak kawasan rendah di bandar raya ini bulan lalu akibat hujan lebat lebih empat jam, sekali gus menyebabkan banyak rumah penduduk terjejas dimasuki air banjir.

Pada kenyataan sama, Noorazam berkata, pihaknya sudah melaksanakan kerja-kerja pembersihan di lokasi yang terbabit dengan membersihkan halangan di dalam parit, longkang serta saliran utama.

"MBJB memperuntukkan RM6 juta untuk penyelenggaraan sungai dan longkang setiap tahun namun sikap segelintir rakyat yang membuang sampah di dalam saliran ini amat kita dikesali.

"Saya juga sudah mengadakan lawatan ke lokasi-lokasi panas banjir bagi merangka tindakan penyelesaian komprehensif membabitkan tindakan penyelesaian segera, sederhana dan jangka masa panjang bagi mengatasi masalah banjir," katanya.

Tamat

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 20 Oktober 2021 @ 4:31 PM