DATUK Mohd Noorazam Osman ketika mempengerusikan Mesyuarat Penuh MBJB di Menara MBJB, Johor Bahru. FOTO ihsan MBJB
DATUK Mohd Noorazam Osman ketika mempengerusikan Mesyuarat Penuh MBJB di Menara MBJB, Johor Bahru. FOTO ihsan MBJB
Nurul Amanina Suhaini
am@hmetro.com.my


Johor Bahru: Lebih 30 jajaran perparitan utama di kawasan pentadbiran Majlis Bandaraya Johor Bahru (MBJB) yang sudah dinaik taraf, diberi perhatian bagi mengelakkan banjir kilat.

Datuk Bandar Johor Bahru Datuk Mohd Noorazam Osman, berkata, kebanyakan saliran itu adalah anak sungai kepada sungai utama iaitu Sungai Skudai, Sungai Tebrau, Sungai Plentong dan Sungai Tiram yang mengalir terus ke Selat Tebrau.

Katanya, saliran itu mengalir dalam kawasan taman, kampung tradisi, penempatan tidak tersusun atau setinggan, kawasan industri serta tanah persendirian yang belum dibangunkan.

"Faktor jenis kawasan dan struktur saliran ini menyebabkan terdapatnya mendapan di dasar saliran atau sungai yang perlu dibersihkan secara berkala.

"Ia bagi mengelakkan dasar saliran cetek seterusnya boleh menjadi faktor banjir kilat. Kerja penggalian dasar sungai atau saliran akan dilaksanakan meliputi kenal pasti lokasi panas banjir dan jenis struktur saliran bagi penentuan kekerapan kerja penggalian," katanya.

Beliau berkata demikian ketika mempengerusikan Mesyuarat Penuh MBJB di Menara MBJB di sini, hari ini.

Mohd Noorazam berkata, bagi lokasi penggalian dasar saliran, kawasan tumpuan meliputi Sungai Bala berhampiran Kampung Ubi, Sungai Tampoi berhampiran landasan kereta api kawasan Larkin, kawasan air pasang dari Selat Johor dan lokasi lain yang terdapat mendapan.

Katanya, pada masa sama, pihaknya meminta sokongan masyarakat setempat dalam memastikan parit, longkang dan saliran di bandar raya Johor Bahru kekal bersih daripada sampah sarap domestik.

"Pelaksanaan tindakan pemeriksaan, kawalan dan pencegahan perlu untuk memastikan sungai dan sumber perairan tidak tercemar memandangkan jajaran sungai ini turut melalui kawasan pihak berkuasa tempatan (PBT) lain," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 30 November 2021 @ 6:45 PM