PETUGAS membawa keluar peti sejuk ditemukan di dalam salah satu saliran. FOTO Ihsan MBJB
PETUGAS membawa keluar peti sejuk ditemukan di dalam salah satu saliran. FOTO Ihsan MBJB
Mohamed Farid Noh
am@hmetro.com.my


Johor Bahru: Peti sejuk, tilam, tayar, sisa pokok dan ratusan plastik sampah antara bahan buangan ditemui petugas kebersihan Majlis Bandaraya Johor Bahru (MBJB), yang melaksanakan kerja pembersihan di sungai, parit, longkang serta saliran utama susulan banjir kilat di bandar raya ini, Khamis lalu.

MBJB dalam kenyataannya berkata, kerja pembersihan itu dilaksanakan pada Jumaat dan Sabtu lalu secara manual menggunakan jentera berat seperti jengkaut dan kren bagi tujuan pembersihan sampah di saliran utama.

MBJB turut melaksanakan kerja pembersihan segera terhadap sisa runtuhan struktur dan tembok batu di beberapa saliran utama seperti di Kampung Melayu Majidee dan Sungai Chat, Kampung Md Amin.

Datuk Bandar Johor Bahru, Datuk Mohd Noorazam Osman turut melawat lokasi hotspot banjir bagi merangka tindakan penyelesaian bersepadu bagi penyelesaian segera, sederhana dan jangka masa panjang yang akan dilaksanakan.

"MBJB mengenal pasti 24 lokasi hotspot banjir akibat kejadian banjir pada Khamis lalu di sekitar bandar raya ini dengan 18 lokasi adalah di bawah seliaan MBJB, manakala enam lokasi hotspot lagi adalah di bawah seliaan agensi kerajaan yang lain.

"Antara lokasi hotspot dan terjejas yang dilawati adalah di kawasan Sungai Chat, Kampung Md Amin, Kampung Pasir, Kempas Lurah, Kempas Permatang, Kampung Ubi, Jalan Tiong Larkin Jaya, Larkin Idaman dan Taman Majidee.

"MBJB memohon kerjasama setiap warga bandar raya untuk menjaga kebersihan alam sekitar dengan tidak membuang sampah dan sisa domestik di dalam atau berhampiran saliran utama yang sudah pasti boleh menghalang aliran air sewaktu hujan lebat dan memburukkan lagi keadaan banjir," kata agensi berkenaan dalam kenyataan itu, semalam.

Khamis lalu, Sultan Johor, Sultan Ibrahim Iskandar dilaporkan menitahkan Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Johor dan pihak berkuasa tempatan (PBT) supaya segera menjalankan kajian di semua kawasan yang kerap berlaku banjir kilat di negeri ini.

Sultan Ibrahim dilaporkan bertitah, baginda juga mahukan kedua-dua pihak berkenaan supaya segera mempersembahkan laporan kajian berkenaan.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 4 Oktober 2021 @ 9:47 AM