ABANG Johari meninggalkan Persidangan Mesyuarat Ketiga Bagi Penggal Pertama Dewan Undangan Negeri Sarawak Ke-19 di Petra Jaya Kuching. FOTO Nadim Bohari.
ABANG Johari meninggalkan Persidangan Mesyuarat Ketiga Bagi Penggal Pertama Dewan Undangan Negeri Sarawak Ke-19 di Petra Jaya Kuching. FOTO Nadim Bohari.
Mohd Roji Kawi


Kuching: Pengerusi Gabungan Parti Sarawak (GPS) Tan Sri Abang Johari Abang Openg, masih menunggu keputusan Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah bagi menentukan langkah seterusnya berhubung pembentukan kerajaan campuran.

Abang Johari yang juga Premier Sarawak berkata, beliau sibuk dengan persidangan Dewan Undangan Negeri (Dun) Sarawak hari ini, membuatkan beliau tidak dapat mengikuti sepenuhnya perkembangan politik terbaru yang sedang berlaku di Semenanjung.

"Tengoklah...saya belum tahu keputusan Agong, tak tahu....saya lagi (masih) di dewan (Dun)," katanya kepada media di ruang legar Kompleks Dun Sarawak, hari ini.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas keputusan Barisan Nasional (BN) untuk kekal sebagai pembangkang.

Terdahulu, GPS dalam kenyataan hari ini berkata, pihaknya menyerahkan kepada kebijaksanaan Yang Di-Pertuan Agong, mengikut kuasa yang diperuntukkan kepada baginda dalam Perlembagaan Malaysia untuk melantik Perdana Menteri yang akan mengetuai kerajaan yang kukuh untuk mentadbir negara.

GPS turut menegaskan bahawa kepentingan negara adalah lebih diutamakan dan penubuhan kerajaan yang stabil mengambil kira kepentingan rakyat dan negara melebihi kepentingan peribadi.

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob hari ini memaklumkan Dewan Tertinggi Barisan Nasional (BN) membuat keputusan untuk tidak menyokong mana-mana gabungan untuk membentuk kerajaan.

Beliau berkata, BN tidak menyokong mana-mana gabungan sama ada Pakatan Harapan (PH) atau Perikatan Nasional (PN).

GPS kini memiliki 23 kerusi Parlimen susulan keputusan rasmi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) bagi kerusi Baram yang disahkan petang semalam.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 22 November 2022 @ 5:41 PM