ABANG Johari merasmikan Tadika Komuniti SeDidik Penan di Kawasan Tutoh Apoh di Long Leng, Baram, dalam Bahagian Miri, hari ini. fOTO Ihsan Ukas
ABANG Johari merasmikan Tadika Komuniti SeDidik Penan di Kawasan Tutoh Apoh di Long Leng, Baram, dalam Bahagian Miri, hari ini. fOTO Ihsan Ukas
Mohd Roji Kawi


KUCHING : Gabungan Parti Sarawak (GPS) belum memutuskan sama ada akan menghantar jentera kempen bagi membantu rakan gabungan di dalam Kerajaan Perpaduan pada Pilihan Raya Negeri (PRN) di enam negeri di Semenanjung.

Pengerusi GPS, Tan Sri Abang Johari Abang Openg berkata, beliau perlu mendapatkan persetujuan daripada semua pemimpin empat parti yang membentuk GPS berhubung perkara itu.

"Saya akan berbincang dengan pemimpin GPS yang lain terlebih dahulu," katanya ringkas selepas Majlis Perasmian Tadika Komuniti SeDidik Penan di Kawasan Tutoh Apoh di Long Leng, Baram, dalam Bahagian Miri, hari ini.

Turut hadir, Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-Kanak dan Kesejahteraan Komuniti yang juga Ketua Wanita GPS, Datuk Seri Fatimah Abdullah.

Beliau yang juga Premier Sarawak berkata demikian ketika ditanya kemungkinan GPS akan membantu kempen pada PRN di enam negeri iaitu Kedah, Kelantan, Terengganu, Selangor, Negeri Sembilan dan Pulau Pinang.

GPS adalah gabungan empat parti tempatan Sarawak iaitu Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB), Parti Rakyat Sarawak (PRS), Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) dan Parti Demokratik Progresif (PDP).

Ahad lalu, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi pada satu majlis di Sri Aman berharap agar pemimpin GPS dapat membantu calon Barisan Nasional (BN) di enam negeri terbabit.

Ahmad Zahid yang juga Pengerusi BN dilapor berkata, beliau mahu agenda kestabilan politik di Sarawak menjadi contoh serta diguna pakai oleh jentera gabungan berkenaan dalam tempoh berkempen.

Ahmad Zahid dipetik berkata, beliau sudah berbincang dengan Setiausaha Agung GPS Datuk Seri Alexander Nanta Linggi untuk membawa tokoh daripada GPS bagi membantu kempen.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 4 Julai 2023 @ 4:31 PM