Raja Noraina Raja Rahim dan Asrizal Aris


Kuala Selangor: Calon kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Jeram, Datuk Harrison Hassan hadir bertongkat ketika membuat lawatan di pusat mengundi di Sekolah Kebangsaan (SK) Puncak Alam 2, Puncak Alam di sini, hari ini.

Bekas Timbalan Ketua Umno Sungai Buloh yang menjadi calon Perikatan Nasional (PN) bagi Pilihan Raya Negeri (PRN) Ke-15 itu mengalami bengkak pada buku lali.

Bagaimanapun, katanya, kecederaan itu tidak menghalang beliau turun bertemu pengundi terutama pada hari terakhir.

"Sebenarnya sudah dua hari buku lali saya bengkak, tidak tahu sebab apa mungkin kerana terlalu banyak berjalan (kempen).

"Mungkin ini ujian buat saya, tapi tiada masalah boleh bertongkat saya datang juga bertemu pengundi. Ini kerana memang niat saya untuk pergi kesemua 13 pusat mengundi di DUN Jeram.

"Mungkin semasa kempen saya tidak sempat jumpa semua pengundi, jadi di sini dapatlah saya jumpa mereka juga," katanya ketika ditemui di sini, hari ini.

Pada PRN Selangor, Harrison berdepan saingan dua penjuru menentang calon Barisan Nasional (BN), Datuk Jahaya Ibrahim yang juga Ketua Umno Bahagian Kuala Selangor.

Dalam pada itu, Harrison berkata, berdasarkan pemerhatian di beberapa pusat mengundi dilawatinya setakat pagi ini mendapati peratusan keluar mengundi masih rendah.

Justeru, beliau menyeru pengundi supaya menunaikan tanggungjawab masing-masing sebelum pusat mengundi ditutup pada jam 6 petang.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 12 Ogos 2023 @ 1:12 PM
Harrison Hassan bertemu bersama pengundi ketika membuat lawatan pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Selangor bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Jeram di Sekolah Kebangsaan Puncak Alam 2. FOTO ASYRAF HAMZAH
Harrison Hassan bertemu bersama pengundi ketika membuat lawatan pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Selangor bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Jeram di Sekolah Kebangsaan Puncak Alam 2. FOTO ASYRAF HAMZAH