Ketua Penerangan BERSATU Datuk Wan Saiful Wan Jan ketika membantu calon Perikatan Nasional (PN) Parlimen Padang Serai, Datuk Azman Nasrudin berkempen di Taman Mahsuri di sini, hari ini. FOTO Noorazura Abdul Rahman
Ketua Penerangan BERSATU Datuk Wan Saiful Wan Jan ketika membantu calon Perikatan Nasional (PN) Parlimen Padang Serai, Datuk Azman Nasrudin berkempen di Taman Mahsuri di sini, hari ini. FOTO Noorazura Abdul Rahman
Oleh Noorazura Abdul Rahman


Padang Serai: Kerajaan negeri diminta mempertimbangkan cuti khas sempena Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) Parlimen Padang Serai pada 7 Disember depan bagi memudahkan pengundi di parlimen itu menunaikan tanggungjawab mereka.

Ketua Penerangan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU), Datuk Wan Saiful Wan Jan berkata ini berikutan hari pengundian yang ditetapkan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) bagi parlimen itu adalah pada hari Rabu iaitu hari bekerja buat semua penjawat awam dan swasta di negeri berkenaan.

"Kita bimbang peratusan keluar mengundi menurun sekiranya pengundi bekerja pada hari itu, termasuklah anak muda berusia 18 tahun ke atas yang baharu pertama kali diberi peluang menunaikan tanggungjawab itu.

"Jadi kita cadangkan supaya Menteri Besar, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor mempertimbangkan cuti di Kedah pada hari itu supaya penduduk atau pengundi terutama di Parlimen Padang Serai dapat keluar mengundi tanpa sebarang kekangan," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas mengiringi calon Perikatan Nasional (PN) Parlimen Padang Serai, Datuk Azman Nasrudin menemui pengundi di Taman Mahsuri di sini, hari ini.

Wan Saiful yang juga Ahli Parlimen Tasek Gelugor berkata, PN perlu memastikan jumlah peratusan keluar mengundi tinggi sebagai usaha memenangi kerusi berkenaan.

"Bagi saya kerusi Parlimen Padang Serai ini penting sebab berlaku betul-betul selepas PRU15. Ia akan menjadi kayu ukur sejauh mana gelombang yang dikatakan menyokong PN itu benar-benar wujud dan komitmen sayalah untuk bantu memastikan bahawa gelombang itu kekal sehingga ke hari mengundi mahupun selepas itu lagi.

"Jadi keputusan di Padang Serai ini satu perkara yang amat penting untuk masa depan negara kita,"katanya.

Sebelum ini, SPR menetapkan proses pengundian di Parlimen Padang Serai ditunda ke 7 Disember depan berikutan kematian calon M Karupaiya, 68, yang meninggal dunia pada 16 November, tiga hari sebelum PRU15.

Proses penamaan calon Parlimen Padang Serai ditetapkan 24 November lalu dan undian awal pada 3 Disember 2022.

Selain Azman, Parlimen Padang Serai menyaksikan pertembungan enam penjuru antaranya Datuk C Sivaraj (BN), Dr Mohamad Sofee Razak (PH), Hamzah Abd Rahman (GTA), Mohd Bakri Hashim (Warisan) dan Sreanandha Rao (Bebas).

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 27 November 2022 @ 2:46 PM