Oleh Mary Victoria Dass


Johor Bahru: Menggelar dirinya sebagai budak gemuk BN, Mohd Norfirdaus Che Aman, 33, yang juga orang kurang upaya (OKU) fizikal gigih membantu calon Barisan Nasional (BN) Parlimen Pasir Gudang untuk kempen pilihan raya sejak 14 tahun lalu.

Berasal dari Jalan Bakawali, Taman Johor Jaya di sini, Mohd Norfirdaus berkata, kali ini dia tidak ketinggalan untuk membantu kempen calon BN, Noor Azleen Ambros pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).

Mohd Norfirdaus yang memiliki berat badan kira-kira 200 kilogram berkata, dia menghayati setiap detik ketika berkempen untuk BN terutama ketika bertemu dengan pelbagai lapisan pengundi.

Menurutnya, sepanjang berkempen dia akan menjalankan kerja mengesahkan risalah, memasang bendera serta mengiringi calon bertanding.

"Saya hanya menggunakan kekuatan pada tangan kanan kerana tangan kiri saya tidak berfungsi secara normal sebab patah ketika dilahirkan.

"Bagaimanapun saya tidak pernah diketepikan oleh rakan ketika berkempen sebaliknya kehadiran saya dialu-alukan kerana saya gemar membuat lawak ketika bertugas bertujuan menghiburkan rakan yang kepenatan," katanya.

Mohd Norfirdaus berkata, sepanjang tempoh berkempen dia juga menerima sambutan yang positif.

Menurutnya, dia kerap menasihati pengundi terutama golongan muda untuk membuat pilihan tepat bagi supaya pisang tidak berbuah dua kali.

"Harapan saya Pasir Gudang dikembalikan kepada BN kerana tiada parti lain yang boleh mengurus tadbir dengan baik melainkan BN.

"Saya berharap selepas selesai PRU15, masalah banjir dan isu air di kawasan Pasir Gudang dapat diatasi segera," katanya.

Mohd Norfirdaus Che Aman aktif berkempen bagi membantu calon Barisan Nasional (BN) kerusi Parlimen Pasir Gudang, Noor Azleen Ambros. FOTO Mary Victoria Dass.
Mohd Norfirdaus Che Aman aktif berkempen bagi membantu calon Barisan Nasional (BN) kerusi Parlimen Pasir Gudang, Noor Azleen Ambros. FOTO Mary Victoria Dass.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 14 November 2022 @ 2:48 PM