Syaherah Mustafa

Tanah Merah: Calon PAS Parlimen Tanah Merah, Datuk Seri Ikhmal Hisham Abdul Aziz, mahu meneruskan perjuangan di jajahan itu dengan memfokuskan agenda pendidikan sebagai perjuangan utama.

Ikhmal berkata, dia mahu meninggalkan legasi yang terbaik di jajahan itu selepas membawa banyak pembangunan sepanjang kepimpinan sebelum ini.

"Tidak lama lagi Tanah Merah akan memiliki sebuah sekolah berasrama yang dijangka beroperasi tahun depan, selain berhasrat memastikan terbina sebuah perpustakaan untuk dijadikan tempat rujukan anak muda di sini.

"Selain itu, kita mahu mewujudkan lebih banyak sekolah agama memandangkan masyarakat Kelantan lebih cenderung kepada pengajian Islamik. Kita mahu melakukan pembangunan berdasarkan kehendak masyarakat setempat.

"Melalui sambutan yang diberikan oleh rakyat sepanjang berkempen, saya yakin akan mendapat sokongan yang baik namun tidak mengambil mudah sebaliknya terus berusaha yang terbaik," katanya.

Sementara itu, Ikhmal Hisham berkata kos pembinaan dan baik pulih masjid di daerah itu sudah diluluskan dan menunggu untuk dilaksanakan selepas Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) nanti.

Antara masjid yang terbabit adalah mukim Tebing Tinggi, mukim Kuala Paku, mukim Bukit Panau, mukim Batang Merbau.

Menurutnya, dia bersyukur kerana menerima sokongan penuh daripada jentera parti dalam Perikatan Nasional (PN) selain mengakui perjalanan kempen berjalan dengan aman dan lancar.

Tambahnya, walaupun terdapat halangan untuk berkumpul susulan sepanjang Monsun Timur Laut (MTL) tetapi jentera tetap bersemangat bergerak ke pelusuk kawasan di Parlimen Tanah Merah.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 13 November 2022 @ 3:11 PM
IKHMAL Hisham beramah mesra dengan peniaga di Bandar Tanah Merah. FOTO SYAHERAH MUSTAFA
IKHMAL Hisham beramah mesra dengan peniaga di Bandar Tanah Merah. FOTO SYAHERAH MUSTAFA