Syaherah Mustafa

Tanah Merah: Calon Barisan Nasional (BN) Parlimen Tanah Merah, Mohd Bakri Mustapa memaklumkan beliau tidak gentar walaupun terpaksa berlawan dengan bekas bos dan 'abang' pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Mohd Bakri berkata, calon PAS, Datuk Seri Ikhmal Hisham Abdul Aziz, adalah bekas majikannya, manakala calon Pakatan Harapan (PH), Datuk Seri Mohd Supardi Md Noor, adalah kenalan yang dianggap seperti saudara sendiri.

Katanya, persaingan lima penjuru kali ini dianggap istimewa kerana empat calon yang menjadi lawannya adalah kenalan sejak daripada kecil.

"Bagaimanapun, saya adalah calon yang bukan sahaja berasal di sini, tetapi juga menetap di Tanah Merah sekali gus dapat menarik pengundi yang mahukan pemimpin yang sentiasa dekat dengan rakyat.

"Daripada konteks hubungan sebagai kenalan dan saudara mara kepada pengundi, ia memberi suatu kelebihan buat saya selain dapat merasakan hubungan positif antara jentera dalam membantu memenangkan parti.

"Malah, jentera menjalankan tugas bersungguh-sungguh sepanjang berkempen walaupun Tanah Merah dilanda hujan dengan cuaca yang tidak menentu," katanya ketika ditemui selepas melawat pasar tani Bandar Tanah Merah, di sini, semalam.

MOHD Bakri turun padang berkempen di pasar tani Bandar Tanah Merah, di sini, semalam. FOTO SYAHERAH MUSTAFA
MOHD Bakri turun padang berkempen di pasar tani Bandar Tanah Merah, di sini, semalam. FOTO SYAHERAH MUSTAFA

Semalam turut menyaksikan pertembungan antara Mohd Bakri dan Ikhmal ketika berkempen di pasar berkenaan dan mereka dilihat berpelukan memberi sokongan masing-masing sebelum berhadapan dengan hari mengundi pada 19 November ini

Mohd Bakri berkata, perjuangannya di Tanah Merah termasuk untuk memajukan ekonomi terutama kepada golongan muda dengan menyediakan kawasan berniaga.

"Walaupun ada ahli BN yang kini sudah beralih kepada parti lain secara fizikal, namun saya yakin jiwa mereka masih pada parti akar umbi yang mereka perjuangkan pada suatu ketika dulu.

"Saya berharap pengundi memberi saya peluang untuk menjadi pemimpin di sini, seterusnya bersama-sama membawa kemajuan dan kebaikan kepada Tanah Merah," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 12 November 2022 @ 2:00 PM