Lebuh raya MEX. FOTO Arkib NSTP.
Lebuh raya MEX. FOTO Arkib NSTP.
Nurul Hidayah Bahaudin


Kuala Lumpur: Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) meluluskan pelaksanaan laluan kontra secara percubaan di Lebuhraya Maju Expressway (MEX) ke arah Kuala Lumpur yang akan bermula 16 November ini.

Maju Expressway Sdn Bhd dalam kenyataan hari ini, memaklumkan laluan kontra itu akan dipantau dan dinilai keberkesanannya dari semasa ke semasa.

"Laluan kontra ini akan bermula dari Kilometer (KM) 11.5 sehingga KM 7.9 bagi aliran trafik arah Utara (Putrajaya-Kuala Lumpur), khusus untuk kenderaan ringan (kelas 1) yang akan menuju ke Jalan Tun Razak dan Pusat Bandar melalui Plaza Tol Salak Selatan sahaja.

"Pengguna yang mahu keluar ke Bukit Jalil atau Kuchai Lama perlu kekal di laluan utama tanpa memasuki laluan kontra," menurut kenyataan itu.

Pengendali lebuh raya itu berkata, langkah dijangka dapat mewujudkan aliran trafik yang lebih lancar dan mengurangkan masa perjalanan bagi semua pengguna MEX.

"Laluan kontra ini akan dilaksanakan pada setiap Isnin hingga Jumaat bermula 7 pagi sehingga 10 pagi kecuali hujung minggu atau cuti umum.

"Justeru itu, pengguna lebuh raya diminta untuk merancang perjalanan ketika tempoh laluan kontra dilaksanakan.

"Pengguna diingatkan untuk berada di lorong yang betul bagi mengelakkan kekeliruan serta gangguan aliran trafik dan kerjasama semua pemandu amat dihargai," menurut kenyataan.

Maklumat terkini mengenai laluan kontra dan laporan trafik melalui akaun MEXTraffic Twitter serta Facebook MEX Traffic atau menghubungi MEX Helpline di talian 03-83159111 untuk maklumat lanjut.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 11 November 2022 @ 4:31 PM