Nurul Fatihah Sulaini


Besut: Sejumlah 99,000 kotak rokok tidak bercukai dianggarkan bernilai kira-kira RM 1.4 juta berjaya dirampas dalam satu serbuan Ops Gelora pasukan Polis Marin Wilayah Tiga, Tok Bali, kelmarin.

Ketua Polis Daerah Besut, Superintendan Abdul Rozak Muhammad berkata, Pasukan polis Marin (PPM) melakukan rondaan melalui jalan darat sekitar kawasan berbatu di Teluk Air Tawar sebelum mendapati beberapa lelaki sedang memunggah barang ke dalam lori, kira-kira 11.30 malam, Rabu.

"Sebaik menyedari kehadiran polis mereka melarikan diri serta meninggalkan lori dan barang di tempat kejadian," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Besut di Kampung Raja, di sini hari ini.

Katanya, pasukan serbuan menunggu kira-kira 30 minit namun suspek tidak kembali semula mengambil barang serta lori berkenaan.

"Hasil pemeriksaan mendapati terdapat 198 peti rokok dengan setiap peti mengandungi 50 pek kotak rokok serta 10 kotak rokok bagi setiap pek.

ABDUL Rozak (dua kiri) memeriksa rokok seludup yang dirampas. FOTO Nurul Fatihah Sulaini
ABDUL Rozak (dua kiri) memeriksa rokok seludup yang dirampas. FOTO Nurul Fatihah Sulaini

"PPM kemudian menyerahkan barang rampasan lori serta rokok dengan anggaran nilai keseluruhan rampasan berjumlah kira-kira RM 1.685 juta termasuk nilai lori dianggarkan RM 200,000 kepada kami untuk siasatan lanjut ," katanya.

Katanya, berdasarkan maklumat awal bekalan rokok itu diperoleh dari negara jiran dan untuk pasaran luar daerah Besut.

"Setakat ini kita masih mengesan suspek dengan menjejaki maklumat melalui nombor pendaftaran pada lori.

"Kita juga meminta orang awam yang mempunyai maklumat berhubung kes ini supaya menghubungi balai polis berdekatan," katanya.

Rozak berkata, suspek dipercayai mengambil kesempatan untuk melakukan aktiviti menyeludup rokok ketika polis sedang sibuk menumpukan perhatian kepada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) dan persediaan musim banjir.

"Namun sangkaan mereka silap kerana kita bekerjasama dengan pasukan polis Marin untuk membanteras aktiviti penyeludupan barang terlarang serta tidak bercukai," katanya.

Beliau berkata, kes disiasat di bawah Seksyen 135(1)(e) Akta Kastam 1967 kerana mengimport barang tanpa permit sah serta memindahkan barang tidak bercukai.

"Jika sabit kesalahan boleh didenda tidak kurang 10 kali ganda nilai barang atau RM 100,000 atau tidak kurang 20 kali ganda nilai barang atau RM 500,000 atau penjara tidak kurang enam bulan atau tidak lebih lima tahun atau keduanya," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 11 November 2022 @ 2:28 PM