Nurul Fatihah Sulaini


Besut: Dua lelaki ditahan ketika ingin memindahkan bekalan mercun dan bunga api ke dalam sebuah kenderaan di Kampung Beris Cawat, Kuala Besut, Ahad lalu.

Individu itu dikesan sepasukan anggota Batalion 7 Pasukan Gerakan Am (PGA) Kuantan, Pahang yang melakukan rondaan kira-kira 9.30 pagi.

Ketika rondaan, pasukan mengesan sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV) Proton Exora berada dalam keadaan mencurigakan kawasan Bandar Baru Tanah Merah, Kelantan.

Ketua Polis Daerah Besut, Superintendan Abdul Rozak Muhammad berkata, mereka kemudian mengekori kenderaan itu sehingga ke Kampung Beris Cawat, Kuala Besut yang berhenti berhampiran sebuah kenderaan pacuan empat roda, Mitsubishi.

"Didapati dua lelaki sedang menunggu pemandu Proton Exora untuk memindahkan barangan ke kenderaan pacuan empat roda berkenaan.

"Menyedari kehadiran polis mereka cuba melarikan diri, namun hanya dua lelaki tempatan berusia 24 dan 34 tahun yang menaiki Mitsubishi berjaya ditahan manakala pemandu Proton Exora sempat melarikan diri," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Besut, di sini, hari ini.

Rozak berkata, pemeriksaan menemui pelbagai jenis mercun serta bunga api dalam dua kenderaan itu.

"Jumlah rampasan bernilai RM50,000 bersama dua kenderaan terbabit dan anggaran mercun dirampas bernilai RM 10,000.

"Kita percaya bekalan ini berasal dari negara jiran serta dibawa masuk dari negara sempadan untuk dipasarkan sekitar Kuala Terengganu," katanya.

ABDUL Rozak (dua, kiri) menunjukkan mercun serta bunga api yang dirampas. FOTO Nurul Fatihah Sulaini.
ABDUL Rozak (dua, kiri) menunjukkan mercun serta bunga api yang dirampas. FOTO Nurul Fatihah Sulaini.

Katanya, hasil ujian air kencing dua-dua suspek positif dadah jenis Methamphetamine serta mempunyai beberapa rekod kesalahan masa lampau berkaitan kesalahan dadah.

"Kedua-dua suspek direman empat hari bermula semalam dan kita masih mengesan pemandu Proton Exora.

"Kes disiasat di bawah Seksyen 8 Akta Bahan Letupan 1957 jika disabit kesalahan boleh dipenjara selama tujuh tahun atau denda RM 10,000," katanya.

Beliau berkata, setakat ini hanya terdapat empat sahaja permit jualan mercun serta bunga api yang dibenarkan di daerah Besut.

"Kebanyakan mercun dirampas ini tidak tersenarai dalam kategori mercun serta bunga api yang dibenarkan dijual di negara ini," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 4 April 2023 @ 5:38 PM