HABIBAH (kanan) beramah mesra bersama ibu bapa di sekitar Tanjong Karang. FOTO IHSAN HABIBAH MOHD YUSOF
HABIBAH (kanan) beramah mesra bersama ibu bapa di sekitar Tanjong Karang. FOTO IHSAN HABIBAH MOHD YUSOF
Amirul Aiman Hamsuddin


Tanjong Karang: Calon Barisan Nasional (BN) Parlimen Tanjong Karang, Datuk Habibah Mohd Yusof akan mewujudkan Taman Hub Perindustrian bagi merancakkan lagi ekonomi di Parlimen ini.

Habibah berkata, beliau menjadikan perkara itu sebagai manifesto utamanya dalam usaha memberi peluang pekerjaan kepada penduduk terutama golongan belia.

Mengambil contoh Kuala Selangor, katanya, daerah itu mempunyai Bandar Puncak Alam yang pesat membangun kerana mempunyai kawasan perindustrian berskala besar.

"Objektif inisiatif ini bertujuan mengurangkan penghijrahan anak muda tempatan ke kawasan bandar.

"Tanjong Karang turut memiliki potensi itu yang perlu diwujudkan bagi menjadikan parlimen ini sebagai hab perindustrian di Selangor," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas melancarkan manifesto, di sini, hari ini.

Pada masa sama, Habibah berkata, isu ban pecah dan infrastruktur turut menjadi fokus utama yang perlu diselesaikan sebaik mungkin.

"Masalah ban pecah yang kerap berlaku sejak kebelakangan ini perlu diatasi menerusi kaedah teknologi terkini dan jangka panjang.

"Beberapa jalan utama dan alternatif juga perlu dinaik taraf selain membaiki jeti nelayan sedia ada," katanya.

Beliau berkata, hab eko dan agro pelancongan yang sedia ada turut perlu diperluaskan selain memfokuskan pertumbuhan keusahawanan.

"Saya juga mahu menaik taraf jaringan capaian Internet dan memperkasakan hab teknologi atau siber kepada generasi muda.

"Ia termasuk menyokong keperluan sektor pendidikan 'EduGajet' selain keutamaan bagi pendidikan khas," katanya.

Habibah akan berdepan dengan calon Perikatan Nasional (PN), Kapten (B) Datuk Dr Zulkafperi Hanafi, Siti Rahayu Baharin (PH), Azlan Sani Zawawi (Pejuang) serta Mohd Rosni Mastol mewakili calon Bebas dalam persaingan lima penjuru di Parlimen Tanjong Karang.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 9 November 2022 @ 5:54 PM