Amirul Aiman Hamsuddin


Tanjong Karang: Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor mengesahkan kejadian ban pecah di dua lokasi sekitar Tanjong Karang, hari ini.

Pengarah JBPM Selangor, Norazam Khamis berkata, dua lokasi yang terjejas itu adalah Pekan Tanjong Karang dan Jalan Masjid Baroh.

Katanya, kejadian kira-kira jam 7 pagi menyebabkan berlaku limpahan air naik ke jalan raya dan kawasan berhampiran.

"Hasil pemeriksaan mendapati terdapat ban pecah susulan kerja-kerja menaik taraf benteng.

"Pada masa sama, paras air di sekitar lokasi berada pada kedalaman antara 0.3 meter (m) hingga 0.9 m," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Bagaimanapun katanya, tiada pemindahan mangsa dilakukan setakat ini.

"Pihak bomba akan terus melakukan pemantauan dari semasa ke semasa bagi memastikan tiada perkara tidak diingini berlaku," katanya.

Terdahulu, tular di laman Facebook gambar dan video memaparkan situasi limpahan air di dua lokasi sekitar Tanjong Karang.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 11 Oktober 2022 @ 9:35 AM
ANTARA kawasan di Tanjong Karang yang terjejas susulan kejadian ban pecah, hari ini. FOTO Ihsan Bomba
ANTARA kawasan di Tanjong Karang yang terjejas susulan kejadian ban pecah, hari ini. FOTO Ihsan Bomba