KAKITANGAN RapidKL membantu tunjuk arah kepada pengguna LRT yang ingin menggunakan bas perantara ketika laluan LRT Kelana Jaya ditutup sementara. FOTO Mohamad Shahril Badri Saali
KAKITANGAN RapidKL membantu tunjuk arah kepada pengguna LRT yang ingin menggunakan bas perantara ketika laluan LRT Kelana Jaya ditutup sementara. FOTO Mohamad Shahril Badri Saali
Noor Hidayah Tanzizi


Kuala Lumpur: Pengguna perkhidmatan Transit Aliran Ringan (LRT) Laluan Kelana Jaya mengakui pengantungan operasi 16 stesen dari Stesen Kelana Jaya hingga Stesen Ampang Park selama tujuh hari bermula hari ini menyukarkan pergerakan harian mereka.

Pekerja swasta, Siti Hajar Abdullah, 23, berkata, dia menggunakan perkhidmatan awam itu setiap hari untuk ke tempat kerjanya di Masjid Jamek.

Menurutnya, penghentian sementara operasi di Stesen Universiti menyebabkannya terpaksa mengeluarkan RM60 atau lebih untuk perjalanan pergi dan balik ke tempat kerja menggunakan khidmat e-hailing.

"Pagi tadi saya tunggu juga perkhidmatan bas percuma di Stesen Universiti tetapi bas lambat tiba dan orang yang menunggu pun terlalu ramai.

"Jadi saya tidak mahu terus menunggu terpaksa juga memesan khidmat e-hailing kerana bimbang lambat masuk kerja. Untuk sehala sahaja saya perlu membayar RM28. Kalau balik nanti mungkin lebih mahal kerana waktu puncak," katanya.

Katanya, perkhidmatan LRT menjimatkan masa dan memang sangat diperlukan lebih-lebih lagi dia baharu sahaja bekerja.

"Memang rungsing sebab lama sangat hingga tujuh hari tak tahu lah berapa kos yang perlu keluar sepanjang tempoh itu. Hari pertama pun sudah rasa terbeban dengan kos, naik LRT lebih jimat," katanya.

Sementara itu, Nurul Ashikin mohd Zalizan, 25, yang 'terkandas' selama 30 minit akibat kesesakan di Stesen Masjid Jamek, semalam, mengakui situasi di stesen itu agak luar biasa dengan ramai orang.

Katanya, dalam tempoh itu juga dia cuba memesan makanan menggunakan perkhidmatan penghantar tetapi pihak berkenaan terpaksa menolaknya kerana kesesakan itu.

"Saya bekerja di Dayabumi dan mahu pulang ke Putrajaya. Stesen Masjid Jamek memang agak sesak ketika waktu puncak tetapi semalam lebih berganda kerana masalah gangguan pada LRT.

"Bila tahu operasi stesen dihentikan sementara untuk tujuh hari saya memang sudah risau hingga bercadang mahu mengambil cuti beberapa hari kerana terlalu jauh nak ke tempat kerja dan tiada kenderaan juga.

"Tapi nasib baik bos dapat bertolak ansur dan saya dibenarkan kerja dari rumah tetapi saya sangat berharap operasi tren dapat dipulihkan dalam masa terdekat kerana ia kemudahan yang penting untuk penduduk," katanya.

Bagi pelajar, Nur Muhamad Haikal Ramli, 24, dia bukan sahaja rasa terbeban dengan kos untuk menggunakan perkhidmatan e-hailing, malah mengakui emosinya turut terganggu semalam.

Katanya, dia yang kini sedang menjalani latihan industri di syarikat di Petaling Jaya, menggunakan kemudahan awam itu setiap hari termasuk untuk ke lokasi lain.

"Saya bukan mengada-ngada atau 'lemah' tetapi dalam situasi hujan lebat dan penat dengan terpaksa menunggu lama memang betul-betul buat saya rasa tertekan dan kecewa kerana kita bayar untuk perkhidmatan itu.

"Saya menunggu bas lebih sejam dalam hujan sejak 7.30 malam dan terpaksa meminta rakan mengambil di stesen bas untuk pulang hingga 10 malam kerana jalan juga sesak ketika itu," katanya.

Sementara itu, eksekutif, Humairah Ismail, 30, berkata, penangguhan operasi stesen selama tujuh hari boleh diibaratkan seperti 'patah kaki' kerana kemudahan awam itu adalah kenderaan hariannya.

"Laluan di Kelana Jaya selalu sibuk dan sesak sebab itu kemudahan awam sangat diperlukan dan setiap hari saya menggunakannya. Bila tren tak beroperasi memang rasa macam patah kaki.

"Saya harap masalah seumpama ini tidak akan berlaku, biarlah ini yang pertama dan terakhir kerana tujuh hari itu lama sangat. Harap juga pihak berkenaan dapat mengambil tindakan segera," katanya.

LRT Laluan Kelana Jaya mengalami gangguan pada komponen elektronik sistem kawalan tren automatik (ATC), mengakibatkan tren tidak dapat beroperasi secara automatik antara Stesen LRT Kelana Jaya dan Stesen LRT Ampang Park sejak semalam.

Mengambil kira faktor keselamatan penumpang dan masa yang akan diambil untuk mengesan pasti punca gangguan dan sesi ujian, perkhidmatan antara Stesen LRT Kelana Jaya dan Stesen LRT Ampang Park akan digantung selama tujuh hari bermula, hari ini.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 9 November 2022 @ 2:04 PM