BERNAMA

Kuala Lumpur: Rapid Bus akan menambah 40 lagi bas perantara percuma untuk membawa penumpang yang terjejas, berikutan penutupan 16 stesen tren Transit Aliran Ringan (LRT) antara Kelana Jaya dan Ampang Park bermula semalam.

Menteri Pengangkutan Datuk Seri Wee Ka Siong dalam hantaran di laman Facebook beliau hari ini, memaklumkan penambahan bas itu menerusi kerjasama Smart Selangor dan Mara Liner, dengan masing-masing menyediakan 20 bas di bawah kendalian mereka.

"Buat masa ini, pihak Rapid Bus menyediakan sebanyak 83 bas bagi menampung jumlah penumpang yang tinggi. Jumlah bas perantara kepada lebih 120 bas itu, bagi menampung penumpang di lima laluan seperti yang disiarkan di media sosial Rapid KL," katanya.

Wee turut berkata akan mengadakan lawatan di pusat operasi (OCC) LRT Laluan Kelana Jaya selepas pakar teknikal dari pejabat Thales Group di Kanada serta Singapura, tiba di Malaysia hari ini untuk menjalankan pemeriksaan di OCC Prasarana Malaysia Berhad (Prasarana).

"Saya akan mendapatkan perincian lanjut berhubung masalah yang berlaku selepas pakar-pakar Thales melakukan pemeriksaan mereka. Saya akan memaklumkan perkembangan berhubung perkara ini dari semasa ke semasa.

"Terima kasih atas kesabaran orang ramai. Kami akan melakukan sehabis baik untuk menyelesaikan masalah ini segera," katanya.

Sebelum ini, operator LRT iaitu Rapid Rail Sdn Bhd memaklumkan Sistem Kawalan Tren Automatik (ATC) yang tidak stabil, dikenal pasti sebagai punca kepada gangguan perkhidmatan tren LRT Laluan Kelana Jaya pada Sabtu dan Isnin lalu.

Prasarana mengumumkan perkhidmatan LRT di antara stesen Kelana Jaya dan Ampang Park digantung tujuh hari bermula 6 pagi semalam, selepas mengambil kira faktor keselamatan penumpang serta masa yang akan diambil untuk mengenal pasti punca gangguan perkhidmatan.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 10 November 2022 @ 4:03 PM
Bas perantara percuma untuk membawa penumpang yang terjejas, berikutan penutupan 16 stesen tren Transit Aliran Ringan (LRT) antara Kelana Jaya dan Ampang Park. FOTO BERNAMA
Bas perantara percuma untuk membawa penumpang yang terjejas, berikutan penutupan 16 stesen tren Transit Aliran Ringan (LRT) antara Kelana Jaya dan Ampang Park. FOTO BERNAMA