Noor Hidayah Tanzizi

Petaling Jaya: Gangguan komponen elektronik sistem kawalan tren automatik (ATC) pada Transit Aliran Ringan (LRT) Laluan Kelana Jaya pertama kali berlaku sepanjang tempoh pengoperasian perkhidmatan itu.

Gangguan menyebabkan kehilangan signal antara pusat kawalan dan tren, mengakibatkan tren tidak dapat beroperasi secara automatik antara Stesen LRT Kelana Jaya dan Stesen LRT Ampang Park.

Ketua Pegawai Eksekutif, Kumpulan Prasarana Malaysia Berhad, Mohd Azharuddin Mat Sah berkata, pihaknya masih belum mengenal pasti punca sebenar gangguan pada ATC berkenaan.

Katanya, pasukan khas pihak pengilang peralatan asal (OEM) dari Toronto, Kanada juga dijangka tiba esok untuk membantu menyelesaikan masalah secara menyeluruh.

"Kami memohon maaf kepada semua pengguna dan rakyat atas masalah yang berlaku ini. Kami akan mencari solusi dan penting supaya kami tahu di mana lokasi yang bermasalah. Selain itu, ini adalah untuk keselamatan semua pengguna.

"Kami akan dibantu pasukan khas bagi mencari penyelesaian jangka pendek dan panjang yang merangkumi ujian ke atas peranti dan perisian sedia ada," katanya pada sidang media di sini, hari ini.

Mohd Azharuddin berkata, pihaknya mengesan masalah pada sistem ATC, Sabtu lalu, namun penyelesaian yang diambil tidak berupaya untuk mengatasi gangguan secara menyeluruh.

Katanya, pihaknya juga mempertimbangkan untuk memberi pampasan kepada kira-kira 200,000 penumpang perkhidmatan itu yang terjejas.

Kakitangan Rapid KL menampal notis pemberitahuan mengenai LRT Pasar Seni masih ditutup 09 hingga 15 November susulan mengalami masalah teknikal.  FOTO ASWADI ALIAS.
Kakitangan Rapid KL menampal notis pemberitahuan mengenai LRT Pasar Seni masih ditutup 09 hingga 15 November susulan mengalami masalah teknikal. FOTO ASWADI ALIAS.

"Ini adalah masalah serius yang tidak pernah berlaku sebelum ini. Pihak jurutera kami sudah mencari solusi dan setiap kali ia dijalankan, hanya bertahan selama sehari atau dua hari. Maknanya punca masalahnya belum dapat kenal pasti," katanya.

Mengambil kira faktor keselamatan penumpang dan masa yang akan diambil untuk mengesan pasti punca gangguan dan sesi ujian, perkhidmatan antara Stesen LRT Kelana Jaya dan Stesen LRT Ampang Park akan digantung selama tujuh hari bermula, hari ini.

"Sebelum ini kami sudah mencari penyelesaian tapi masih tidak temui. Jadi, tempoh tujuh hari itu adalah untuk mengenal pasti sebaik mungkin dan membuat ujian percubaan.

"Sebelum kembali beroperasi, kami perlu pastikan ia benar-benar pulih dan selamat digunakan. Kami akan melakukan secepat mungkin dengan sebaiknya dan turut berharap dapat diselesaikan lebih awal serta tidak lebih daripada tujuh hari," katanya.

Menurutnya lagi, perkhidmatan LRT Laluan Kelana Jaya akan beroperasi hanya dari Stesen LRT Gombak ke Stesen LRT Damai serta dari Stesen LRT Lembah Subang ke Stesen LRT Putra Heights.

Semua perkhidmatan LRT Laluan Kelana Jaya akan menamatkan operasi lebih awal iaitu jam 11 malam bagi bagi memberi lebih masa kepada pasukan kejuruteraan untuk melaksanakan kerja rektifikasi dan baik pulih.

Perkhidmatan bas perantara percuma akan disediakan untuk keperluan penumpang dan mengurangkan kesesakan di stesen yang terjejas.

"Kita menyediakan 73 bas sebagai alternatif," katanya yang memberitahu perkhidmatan itu membabitkan lima stesen LRT iaitu Ara Damansara ke Pasar Seni; Ara Damansara ke Kelana Jaya; Kelana Jaya ke Pasar Seni; Pasar Seni ke Masjid Jamek; dan Masjid Jamek ke Dato' Keramat.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 9 November 2022 @ 12:42 PM