Nurul Hidayah Bahaudin


Kuala Lumpur: Penumpang perkhidmatan Transit Aliran Ringan (LRT) menarik nafas lega dengan pembukaan semula Laluan LRT Kelana Jaya, hari ini.

Kakitangan swasta Nurul Naquiah Noor Mohd Raduwan, 24, berkata, penutupan laluan LRT berkenaan pada 9 November lalu menyebabkan dia terpaksa bekerja dari rumah.

"Apabila pengumuman penutupan LRT (Laluan Kelana Jaya) dibuat, saya memohon kepada majikan untuk bekerja dari rumah memandangkan tiada pengangkutan untuk ke tempat kerja dari Sentul ke KLCC.

"Saya lega apabila mengetahui LRT (Laluan Kelana Jaya) dibuka semula malam tadi menerusi TikTok kerana dapat bekerja seperti biasa di pejabat hari ini," katanya ketika ditemui di Stesen LRT Masjid Jamek, di sini, hari ini.

Seorang lagi penumpang, Aimi Najwa Roslan, 25, berkata, dia terpaksa menggunakan monorel untuk ke tempat kerja di Jalan Sultan Ismail, di sini, sepanjang tempoh penutupan laluan berkenaan.

"Selalunya saya naik LRT dari Subang ke Masjid Jamek untuk ke Jalan Sultan Ismail kerana lebih cepat dan dekat iaitu sekitar 50 minit.

"Apabila laluan ini ditutup, saya menaiki monorel yang mengambil masa lebih satu jam dan terpaksa bersesak di dalam tren selain perlu berjalan lebih 10 minit untuk sampai ke tempat kerja.

"Dengan pembukaan semula laluan ini hari ini, ia membolehkan saya untuk melakukan rutin perjalanan ke tempat kerja seperti biasa yang lebih cepat dan dekat," katanya yang juga eksekutif syarikat swasta.

Penumpang LRT, Sulaiman Sidek, 39, memaklumkan, dia amat lega dengan pembukaan semula laluan itu yang membolehkan dia berjimat dari segi masa dan wang.

Dia yang bekerja sebagai jurutera berkata, dia bergerak dari Sentul ke tempat kerja di KLCC menaiki LRT Laluan Kelana Jaya untuk mengelak kesesakan lalu lintas.

"Dalam tempoh beberapa hari laluan ini ditutup, saya terpaksa bergilir-gilir memandu kereta dan menaiki pengangkutan e-hailing sebagai cara alternatif ke tempat kerja.

"Namun, perjalanan itu mengambil masa yang lama untuk sampai ke tempat kerja disebabkan kesesakan lalu lintas dan tambang pengangkutan e-hailing pula mahal sehingga lebih RM50 sehala.

"Dengan pembukaan ini, saya boleh menaiki LRT seperti biasa tanpa bimbang dengan kesesakan lalu lintas serta kos tambang mahal untuk ke tempat kerja," katanya.

Sementara itu, tinjauan Harian Metro di beberapa stesen LRT Laluan Kelana Jaya dari Pasar Seni ke KLCC, hari ini, mendapati keadaan tidak begitu sesak seperti biasa kerana dipercayai masih ramai tidak mengetahui mengenai pembukaan semula laluan itu.

Semalam, Harian Metro melaporkan perkhidmatan LRT Laluan Kelana Jaya dibuka semula bermula 6 pagi tadi, dua hari lebih awal daripada jadual pembukaan selepas mendapat kelulusan daripada Agensi Pengangkutan Awam Darat (Apad).

Selain itu, Rapid Rail Sdn Bhd (Rapid Rail) mengumumkan pemberian tambang percuma untuk setiap hari gangguan perkhidmatan kepada pengguna LRT Laluan Kelana Jaya.

Sebelum ini, 16 stesen LRT dari Stesen Kelana Jaya hingga Stesen Ampang Park digantung operasi selama tujuh hari bermula 9 November lalu hingga 15 November nanti.

Prasarana dalam kenyataan dilaporkan berkata, stesen lain beroperasi seperti biasa bermula 6 pagi, namun akan menamatkan perkhidmatan lebih awal iaitu pada 11 malam.

Stesen yang terbabit dalam penggantungan operasi itu adalah stesen Kelana Jaya, Taman Bahagia, Taman Paramount, Asia Jaya, Universiti, Kerinchi, Bangsar, Abdullah Hukum, KL Sentral, Pasar Seni, Masjid Jamek, Dang Wangi, Kampung Baru, KLCC dan Ampang Park.

ORANG ramai kembali menggunakan LRT laluan Kelana Jaya yang dibuka semula 6 pagi tadi. FOTO Aswadi Alias
ORANG ramai kembali menggunakan LRT laluan Kelana Jaya yang dibuka semula 6 pagi tadi. FOTO Aswadi Alias

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 14 November 2022 @ 10:37 AM